KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Beregu wanita negara Pearly Tan-M. Thinaah kecundang kepada pasangan Korea Selatan Baek Ha Na-Lee So Hee pada aksi separuh akhir Kejohanan Badminton All England 2026 pada Sabtu.
Pasangan nombor dua dunia itu tewas 17-21, 18-21 dalam perlawanan yang berlangsung selama satu jam di Arena Utilita Birmingham.
Pearly-Thinaah memulakan set pertama dengan baik apabila mendahului 2-0, namun Ha Na-So Hee yang berada di ranking keempat dunia bangkit memintas kedudukan untuk mendahului dengan kelebihan 11-9 selepas kira-kira 13 minit permainan.
Pearly-Thinaah bekerja keras untuk merapatkan kedudukan, namun Ha Na-So Hee berhasil menutup set pertama 21-17.
Pada set kedua, Pearly-Thinaah bermula lebih agresif dengan mendahului 10-7 sebelum wakil Korea Selatan itu bangkit melengkapkan kemenangan 21-18 untuk mara ke final.
Ia merupakan kekalahan keempat Pearly-Thinaah dalam tujuh pertembungan menentang Ha Na-So Hee sejak 2022.
Malaysia masih mempunyai satu lagi wakil di separuh akhir menerusi beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang akan bertemu pasangan China Chen Bo Yang-Liu Yi sebentar lagi.
-- BERNAMA
