EKONOMI

DEWAN NEGARA LULUS RUU PERBEKALAN TAMBAHAN (2025) 2026

10/03/2026 06:10 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Persidangan Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2025) 2026 bagi perbelanjaan mengurus tambahan pertama 2025 berjumlah RM8.4 bilion.

RUU yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan 17 Ahli Senator.

Daripada RM8.4 bilion Perbelanjaan Tambahan Mengurus, RM7.9 bilion dibentangkan untuk kelulusan di bawah RUU Perbekalan Tambahan 2025, manakala sejumlah RM472 juta adalah bagi maksud tanggungan dan tidak dibahaskan.  

Peruntukan tambahan langsung RM7.9 bilion itu melibatkan Kementerian Kewangan iaitu sebanyak RM6.69 bilion, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (RM993.94 juta), dan Kementerian Pendidikan Tinggi (RM257.59 juta). 

Ketika penggulungan perbahasan RUU itu, Amir Hamzah berkata jumlah peruntukan tambahan itu telah dibelanjakan sepenuhnya pada 2025 dan ia tidak menjejaskan sasaran defisit fiskal yang ditetapkan pada 2025 iaitu pada kadar 3.8 peratus.

Malah, beliau berkata kadar defisit fiskal terkini telah mencatat penurunan pada kadar 3.7 peratus.

“Walaupun jumlah perbelanjaan mengurus sebenar 2025 adalah lebih rendah berbanding peruntukan asal yang diluluskan pada tahun 2025, terdapat beberapa kementerian yang memerlukan peruntukan yang melebihi jumlah asal yang diluluskan.

“Anggaran Perbelanjaan Mengurus Tambahan Pertama 2025 sebanyak RM8.4 bilion disediakan bagi menampung tujuan tersebut dan jumlah tambahan ini telah termasuk dalam perbelanjaan mengurus sebenar tahun 2025 yang berjumlah RM330.8 bilion, iaitu masih di bawah peruntukan mengurus asal yang diluluskan pada 2025 berjumlah RM335 bilion,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Sementara itu, Amir Hamzah berkata kerajaan sedar bahawa perkembangan konflik geopolitik di Asia Barat berpotensi memberi kesan kepada kedudukan fiskal negara berikutan peningkatan harga komoditi global, khususnya minyak mentah.

“Sehubungan itu, Kementerian Kewangan akan terus memantau perkembangan politik antarabangsa dengan teliti serta bersedia mengambil langkah-langkah mitigasi yang bersesuaian bagi memastikan kestabilan ekonomi dan fiskal negara terus terpelihara,” katanya. 

Beliau berkata tambahan sebanyak RM993.94 juta perlu disediakan bagi menampung peningkatan harga minyak sawit mentah global. 

“Dalam beberapa tahun lalu, purata harga meningkat dengan harga pasaran olein sawit yang ditapis, dilunturkan dan dinyahbau pada 2025 telah mencecah RM4,500 setan berbanding kurang daripada RM4,000 setan pada 2023.

“Pada masa yang sama, harga jualan runcit minyak masak paket bersubsidi satu kilogram dikekalkan pada harga RM2.50 sen sekilogram.

“Memandangkan harga pasaran untuk botol minyak masak satu kilogram hampir RM7 sebotol, perbezaan harga yang ketara ini menyebabkan permintaan tinggi untuk minyak masak paket yang bersubsidi,” katanya. 

Sementara itu, peruntukan tambahan RM257.59 juta adalah untuk menampung perbelanjaan mengurus di beberapa Universiti Awam yang mengalami kekurangan baki tunai iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). 

“Keperluan tambahan operasi Universiti Awam merangkumi pelbagai perbelanjaan antaranya menampung peningkatan perbelanjaan utiliti berikutan berlaku peningkatan kadar tarif elektrik dan air secara keseluruhannya, peningkatan nilai kontrak yang disebabkan oleh kenaikan kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) daripada enam peratus kepada lapan peratus serta pelaksanaan gaji minimum, dan penyelenggaraan dan pembaikan kecil yang perlu dilaksanakan segera,” katanya.

Bagaimanapun, Amir Hamzah berkata Universiti Awam juga boleh menjana pendapatan sendiri melalui yuran pengajian, program profesional, penyelidikan, perundingan dan kerjasama industri untuk menampung peningkatan kos operasi semasa.

Secara purata, tahap kebergantungan Universiti Awam kepada pembiayaan kerajaan adalah sekitar 75 hingga 80 peratus, khususnya bagi menampung komitmen emolumen dan kos operasi asas. 

Persidangan Dewan Negara bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan