JOHOR BAHRU, 11 Mac (Bernama) -- Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi yakin masyarakat, khususnya Bangsa Johor mengenali Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail sebagai pemimpin berwibawa yang komited memacu pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata dalam kekecohan isu bola sepak yang hangat diperkatakan di media sosial, pelbagai pandangan dan kritikan dilontarkan terhadap Tunku Mahkota Ismail, namun rakyat negeri ini menyedari kepimpinan dan visi baginda yang sebenar.
“Itulah realiti dunia hari ini. Media sosial memberi ruang kepada semua untuk bersuara. Namun saya yakin, Bangsa Johor mengenali siapa sebenarnya Tunku Mahkota Ismail,” katanya dalam hantaran di Facebook semalam.
Onn Hafiz berkata Tunku Mahkota Ismail sentiasa meletakkan tanda aras tinggi terhadap prestasi pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan standard sama turut diterapkan terhadap kepimpinan negeri, termasuk barisan exco serta Pegawai Tadbir Negeri Johor (JCS).
“Sebagai Menteri Besar, saya menyaksikan sendiri bagaimana banyak inisiatif Tunku Mahkota Ismail lahir daripada hasrat jelas untuk melihat Johor lebih maju, berdaya saing dan rakyatnya menikmati kehidupan lebih baik,” katanya.
Onn Hafiz berkata Tunku Mahkota Ismail sering mengingatkan bahawa amanah memimpin negeri bukan sekadar jawatan, tetapi tanggungjawab untuk bekerja lebih keras, berfikir jauh dan memastikan setiap dasar memberi manfaat nyata kepada rakyat.
Beliau berkata dalam bidang pendidikan, baginda sering menekankan bahawa masa depan Johor mesti dibina melalui pendidikan yang berkualiti untuk generasi muda.
“Sebab itu, lahir idea seperti Sekolah Rintis Bangsa Johor, bagi membina generasi anak Johor yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik tetapi juga memiliki kepimpinan dan keyakinan untuk bersaing di peringkat global.
“Begitu juga dengan pembangunan belia melalui Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) serta gerakan Southern Volunteers, yang menghimpunkan ribuan anak muda Johor untuk turun membantu masyarakat ketika bencana dan situasi kecemasan,” katanya.
Katanya inisiatif ini membentuk generasi muda yang bukan sahaja berdaya saing tetapi juga mempunyai semangat khidmat kepada masyarakat.
Dalam sektor ekonomi, Tunku Mahkota Ismail menekankan bahawa kemajuan negeri mesti memberi manfaat sebenar kepada rakyat, termasuk usaha menarik pelaburan berkualiti yang menyediakan pekerjaan bergaji premium kepada anak muda Johor, selaras dengan pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Onn Hafiz berkata Johor turut mencatat pencapaian penting apabila berjaya menoktahkan kemiskinan tegar hasil usaha bersepadu pelbagai pihak.
Dalam pada itu, beliau berkata lebih 20,000 unit rumah mampu milik telah disiapkan dan didiami rakyat, sekali gus membuka peluang kepada lebih ramai keluarga memiliki kediaman sendiri.
“Ramai juga mungkin tidak mengetahui bahawa idea kepada Infaq Jumaat Johor, yang kini memberi manfaat kepada ratusan ribu rakyat setiap minggu, turut diinspirasikan oleh keprihatinan Tunku Mahkota Ismail terhadap golongan yang memerlukan. Inilah sisi yang jarang diperkatakan,” katanya.
Beliau berkata walaupun ramai melihat ketegasan Tunku Mahkota Ismail dalam mempertahankan standard bola sepak, visi baginda terhadap Johor melangkaui sukan, merangkumi pendidikan, pembangunan belia, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Perbezaan pandangan adalah perkara biasa dalam mana-mana masyarakat yang matang. Namun janganlah kerana satu perkara kita membiarkan diri kita berpecah. Johor berada pada tahap hari ini kerana kita bergerak bersama sebagai satu Bangsa Johor.
“Saya ingin mengajak seluruh rakyat Johor untuk terus memelihara semangat kebersamaan ini. Marilah kita saling menghormati dan terus bersatu dalam membina masa depan Johor yang lebih maju dan sejahtera untuk generasi akan datang. Raja dan rakyat berpisah tiada,” katanya.
-- BERNAMA
