PENAMPANG, 11 Mac (Bernama) -- Kerjasama badan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan dan sukarelawan belia dalam memperkukuh aktiviti kebajikan serta memupuk nilai empati sepanjang Ramadan amat dihargai, kata Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Beliau berkata penglibatan mereka dalam pelbagai program kebajikan dan kemasyarakatan termasuk menyantuni golongan kurang berkemampuan, bukan sahaja memperkasakan kesejahteraan rakyat tetapi turut meluaskan jaringan kerjasama antara kerajaan negeri serta masyarakat.
Komitmen itu juga melengkapi usaha kerajaan dalam memastikan golongan memerlukan tidak terpinggir, sebaliknya mendapat perhatian dan bantuan sewajarnya.
“Kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan penglibatan NGO yang aktif dan berwibawa dalam membantu memperkukuh kesejahteraan rakyat serta memperluas jaringan kerjasama antara kerajaan serta masyarakat.
“Saya berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan dan diperluas lagi skopnya supaya lebih ramai golongan memerlukan dapat disantuni, bukan sahaja pada Ramadan tetapi juga sepanjang tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Iftar dan Sumbangan Ramadan kepada golongan asnaf, anak yatim serta ibu tunggal anjuran Pertubuhan Masyarakat Interaktif Suara Sabah dan Pertubuhan Kebajikan Cahaya Sabah, di sini malam tadi.
Sebanyak 66 penerima terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama menerima sumbangan, antara lain duit raya serta bakul makanan.
Program itu penganjuran kali ketiga hasil kerjasama strategik pelbagai pihak termasuk jawatankuasa masjid dan sektor korporat.
Nizam berkata program iftar yang menyantuni golongan memerlukan tanpa mengira latar belakang kaum dan agama itu manifestasi jelas perpaduan serta keharmonian masyarakat Sabah, sekali gus membuktikan semangat saling menghormati sudah sekian lama terjalin.
Program seumpama itu diharap dapat diteruskan pada tahun akan datang bagi meningkatkan lagi persefahaman dan kesatuan sesama masyarakat kerana ia adalah antara tunjang penting dalam melancarkan agenda pembangunan kerajaan bagi manfaat rakyat.
-- BERNAMA
