AM

OPERASI EVAKUASI ZON KONFLIK ASIA BARAT: 163 RAKYAT MALAYSIA SELAMAT TIBA DI TANAH AIR

11/03/2026 03:50 PM

SEPANG, 11 Mac (Bernama) -- Sebanyak 163 rakyat Malaysia yang sebelum ini terkandas di beberapa negara di rantau Asia Barat selamat tiba di tanah air pada 12.32 tengah hari tadi. 

Menurut Kementerian Luar kumpulan itu merangkumi jemaah umrah dari Arab Saudi serta rakyat Malaysia dari Qatar, Jordan dan Syria, yang terjejas susulan gangguan jadual penerbangan serta penutupan ruang udara di rantau berkenaan.

Penerbangan sewaan khas Malaysia Airlines MH8503 bagi Operasi Evakuasi Rakyat Malaysia dari Zon Konflik Asia Barat yang berlepas dari Jeddah awal pagi ini turut membawa tujuh ahli keluarga bukan warganegara, iaitu lima rakyat Thailand, serta masing-masing seorang warga Indonesia dan Maghribi. 

Kesemua penumpang dilihat mula keluar di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada 1.45 tengah hari, dan disambut oleh ahli keluarga yang menunggu sejak awal pagi.

Operasi membawa pulang rakyat Malaysia itu diselaraskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) atas arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya langkah segera diambil bagi memastikan keselamatan dan kebajikan warganegara di kawasan konflik sentiasa terpelihara.

Pesawat Airbus A330-300 berkenaan sebelum ini berlepas dari KLIA pada 4.10 petang, Selasa, dan selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah pada 8.35 malam waktu tempatan.

Misi berkenaan hanya diperuntukkan tempoh masa yang singkat oleh pihak berkuasa tempatan di Jeddah bagi proses pengambilan penumpang sebelum berlepas pulang ke tanah air.

Penerbangan itu turut disertai petugas media daripada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Ketegangan di Asia Barat dilaporkan meruncing sejak 28 Feb lepas susulan siri serangan Israel dan  Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran diikuti serangan balas Tehran terhadap kepentingan AS di negara Teluk.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan