KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Langkah penjimatan oleh kerajaan tepat pada masanya dan bertanggungjawab susulan ketidaktentuan global ketika ini akibat krisis berterusan di Asia Barat yang menjejaskan kestabilan ekonomi, harga tenaga dan kos sara hidup secara keseluruhan, kata aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye.
Beliau mengalu-alukan keputusan kerajaan untuk tidak mengadakan rumah terbuka Aidilfitri tahun ini dan mengehadkan lawatan keluar negara oleh menteri serta pengawai kanan sebagai langkah menjimatkan dana awam.
“Pada ketika ramai rakyat Malaysia mengikat perut, adalah wajar untuk kerajaan juga menunjukkan sikap berhemah dan disiplin fiskal dalam pengurusan dana awam.
“Langkah (kerajaan) ini memberi mesej positif bahawa kerajaan sedar keperluan untuk mengutamakan perbelanjaan yang lebih penting dan memastikan sumber negara disalurkan kepada program yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat,” katanya.
Selaras dengan semangat perbelanjaan berhemat ini, beliau berkata langkah penjimatan kos tambahan juga boleh dipertimbangkan.
Lee berkata sekiranya perjalanan ke luar negara oleh menteri dan pegawai kanan diperlukan, mereka sepatutnya menaiki kelas perniagaan bukan kelas pertama, manakala delegasi rasmi perlu dihadkan kepada kumpulan kecil dan lebih fokus bagi memastikan lawatan ke luar negara mempunyai tujuan yang jelas serta menjimatkan kos.
“Selain itu, mesyuarat secara maya dan penggunaan platform digital perlu digalakkan sebanyak mungkin bagi mengurangkan perbelanjaan perjalanan. Kementerian dan agensi kerajaan juga perlu meneliti semula perbelanjaan lain yang bersifat tidak mendesak bagi memastikan dana awam digunakan secara cekap dan bertanggungjawab,” katanya.
Lee berkata langkah sedemikian akan mengukuhkan keyakinan orang ramai bahawa kerajaan serius dalam melaksanakan disiplin kewangan dan komited untuk memimpin melalui teladan ketika berdepan cabaran ekonomi.
Beliau berkata pengurusan sumber negara secara berhemah pada hari ini akan membantu memastikan negara kekal berdaya tahan serta lebih bersedia menghadapi ketidaktentuan pada masa hadapan.
Hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan semua kementerian, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak akan menganjurkan sambutan rumah terbuka Aidilfitri tahun ini, sebagai langkah berjimat cermat susulan ketidaktentuan ekonomi global akibat konflik di Asia Barat.
Anwar berkata menteri dan anggota pentadbiran turut akan dihadkan daripada melakukan lawatan ke luar negara, kecuali bagi urusan yang telah dijadualkan lebih awal atau yang wajib dihadiri.
-- BERNAMA
