EKONOMI

PELAN TRANSFORMASI EKONOMI JOHOR TUMPU KEKUATAN SETIAP DAERAH UNTUK PACU EKONOMI JOHOR

12/03/2026 09:21 AM

Oleh Mohamad Syazwan Mustafa

JOHOR BAHRU, 12 Mac (Bernama) -- Limpahan pembangunan ekonomi di Johor akan terus dirasai secara menyeluruh di kesemua 10 daerah di negeri ini menerusi pelaksanaan Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP), kata Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata walaupun Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dijangka menjadi pemangkin utama pertumbuhan ekonomi negeri, kerajaan negeri memastikan pembangunan tidak tertumpu kepada kawasan tertentu sahaja.

Katanya setiap daerah akan dibangunkan berdasarkan kekuatan dan potensi masing-masing bagi memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati secara seimbang oleh rakyat di seluruh Johor.

“JS-SEZ hanya satu permulaan. JETP merangkumi keseluruhan negeri melibatkan semua 10 daerah.

“Sebagai contoh, Muar akan dibangunkan melalui projek Maharani Energy Gateway, Tangkak memberi tumpuan kepada sektor pelancongan, Mersing kepada perikanan dan pelancongan manakala Segamat kepada pertanian moden,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual dengan Bernama yang diketuai Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj di Saujana, kediaman Rasmi Menteri Besar Johor di sini baru-baru ini.

Onn Hafiz berkata kerajaan negeri komited memastikan setiap daerah menerima limpahan pembangunan yang mampu meningkatkan pendapatan rakyat serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

JETP yang diumumkan pada 21 November tahun lepas merupakan kerangka strategik kerajaan negeri untuk melonjakkan Johor sebagai negeri maju menjelang 2030 dengan sasaran menggandakan nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Johor kepada RM260 bilion.

Pelan pembangunan holistik meliputi 10 daerah dan 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) itu turut menyasarkan peningkatan KDNK per kapita melepasi RM69,000 dan membuka 200,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk tenaga kerja muda.

Onn Hafiz sebelum ini dilaporkan berkata JETP memfokuskan empat intervensi strategik utama iaitu ketersediaan infrastruktur, polisi mesra pelabur, insentif fiskal dan bukan fiskal serta penyediaan tenaga pekerja.

Onn Hafiz dipetik berkata tumpuan sektor ekonomi di Johor Bahru dan Kulai akan terus menjadikan kedua-dua daerah itu sebagai hab pembangunan kecerdasan buatan (AI), pembuatan berteknologi tinggi, ekonomi digital, aeroangkasa serta perkhidmatan berorientasikan eksport.

Muar pula akan dibangunkan sebagai pusat pelancongan dan industri pemprosesan makanan bernilai tinggi selain kompleks tenaga perindustrian manakala Tangkak sebagai pusat transit strategik dan agropelancongan serta Segamat sebagai zon tanaman bernilai tinggi dan pemprosesan biojisim.

Sementara itu, Batu Pahat diperkasakan sebagai hab industri pemprosesan dan pembuatan, Pontian sebagai hab tenaga biru-hijau dan produk akuakultur manakala Kota Tinggi sebagai gerbang tenaga selain hab kimia hijau, pertanian dan pelancongan.

Mersing pula akan dibangunkan sebagai hab ekonomi biru dan ekopelancongan manakala Kluang sebagai hab agropemprosesan bernilai tinggi, pertanian serta logistik.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan