KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Prestasi perdagangan borong dan runcit melonjak 7.3 peratus tahun ke tahun kepada RM159.8 bilion pada Januari 2026, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Dalam satu kenyataan, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata perdagangan runcit merekodkan jumlah jualan sebanyak RM70.2 bilion, meningkat RM4.1 bilion atau 6.1 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
Sementara itu, perdagangan borong turut mencatatkan prestasi memberangsangkan dengan jumlah jualan sebanyak RM70.8 bilion, meningkat RM4.0 bilion atau 6.0 peratus tahun ke tahun.
Subsektor kenderaan bermotor terus menunjukkan pengembangan yang kukuh dengan jumlah jualan sebanyak RM18.8 bilion, meningkat RM2.8 bilion bersamaan pertumbuhan 17.3 peratus berbanding Januari tahun sebelumnya.
Mengulas mengenai subsektor perdagangan runcit Mohd Uzir berkata bahawa prestasi ini disokong terutamanya oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang meningkat sebanyak 7.9 peratus kepada RM27.5 bilion disokong terutamanya oleh peningkatan jualan yang direkodkan oleh kedai runcit, gedung serbaneka dan pasar raya.
"Peningkatan keseluruhan aktiviti runcit ini disumbangkan terutamanya oleh cuti persekolahan, sambutan Tahun Baharu, pemberian Bantuan Awal Persekolahan (BAP) serta persediaan awal bagi perayaan Tahun Baharu Cina," katanya.
Beliau berkata jualan runcit di kedai pengkhususan berkembang 5.4 peratus kepada RM14.7 bilion pada Januari 2026 disokong oleh permintaan yang lebih kukuh bagi produk farmaseutikal, perubatan dan peralatan ortopedik serta barang kemas.
Di samping itu, jualan runcit bahan api kenderaan meningkat 7.0 peratus kepada RM6.5 bilion.
Jualan runcit peralatan isi rumah turut merekodkan peningkatan 3.3 peratus kepada RM7.8 bilion, dipacu oleh pembelian yang lebih tinggi bagi bahan binaan dan perkakasan, perabot isi rumah serta perkakas dapur dan kutleri termasuk barangan tembikar dan kaca.
Mohd Uzir berkata perdagangan borong terus menunjukkan prestasi yang kukuh pada Januari dengan jualan borong barangan isi rumah yang berkembang 9.4 peratus kepada RM 15.2 bilion.
"Peningkatan ini disumbangkan terutamanya oleh jualan yang lebih kukuh bagi barangan pewangi, kosmetik, sabun dan kelengkapan dandanan diri, alat tulis, buku, majalah dan surat khabar serta barang kemas," katanya.
Mohd Uzir memberitahu kumpulan lain-lain pengkhususan jualan borong merekodkan peningkatan sebanyak 4.3 peratus, mencecah RM25.7 bilion, disokong oleh permintaan yang tinggi bagi bahan binaan, baja dan produk agrokimia serta kayu balak, kayu bergergaji, papan lapis, venier dan produk berkaitan.
"Pertumbuhan turut dipacu oleh jualan borong makanan, minuman dan tembakau yang merekodkan peningkatan 5.8 peratus, didorong oleh peningkatan jualan bagi beras, bijiran lain, tepung dan gula, ikan dan lain-lain makanan laut serta kopi, teh, koko serta minuman lain," katanya.
Katanya subsektor kenderaan bermotor mencatatkan pertumbuhan yang ketara, didorong terutamanya oleh jualan kenderaan bermotor yang mencecah RM9.0 bilion, menunjukkan peningkatan sebanyak 25.9 peratus tahun ke tahun.
Prestasi kukuh ini sebahagiannya disokong oleh kempen promosi awal tahun oleh pengedar automotif serta peningkatan permintaan pengguna menjelang musim perayaan yang secara tradisinya menggalakkan pembelian kenderaan yang lebih tinggi serta permintaan penggantian.
"Prestasi ini adalah selari dengan data daripada Persatuan Automotif Malaysia (MAA) yang melaporkan sebanyak 64,298 unit kenderaan terjual manakala Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merekodkan 67,995 pendaftaran kenderaan pada bulan tersebut," katanya.
Mohd Uzir berkata, kumpulan lain yang turut menyumbang kepada pengembangan subsektor ini termasuk jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal (32.7 peratus), jualan alat ganti dan aksesori kenderaan bermotor (6.2 peratus) serta penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor (9.3 peratus) yang mencerminkan permintaan berterusan terhadap perkhidmatan penyelenggaraan kenderaan dan komponen pasaran selepas jualan.
Sementara itu, jualan runcit dalam talian terus mencatatkan pertumbuhan positif pada Januari dengan indeks jualan meningkat 5.9 peratus tahun ke tahun berbanding 8.9 peratus pada bulan sebelumnya.
Aktiviti pembayaran digital terus mencatatkan momentum pertumbuhan pada Januari.
Transaksi e-money melonjak 55.4 peratus tahun ke tahun kepada RM30.3 bilion, mencerminkan peningkatan penggunaan kaedah pembayaran tanpa tunai.
Real-time Retail Payments Platform(RPP) juga mengekalkan prestasi kukuh dengan jumlah transaksi bernilai RM359.0bilion, merekodkan pertumbuhan 23.5 peratus.
Sementara itu, transaksi FPX berkembang sebanyak 32.6 peratus kepada RM51.2 bilion manakala transaksi kad kredit dan kad debit masing-masing merekodkan sebanyak RM20.7bilion dan RM14.6 bilion.
Dari segi indeks volum, perdagangan borong dan runcit merekodkan bpeningkatan 5.8 peratus tahun ke tahun didorong terutamanya oleh subsektor kenderaan bermotor yang berkembang sebanyak 15.9 peratus.
"Bagaimanapun, bagi pelarasan bermusim, indeks volum merosot 2.4 peratus bulan ke bulan berbanding bulan sebelumnya," kata Mohd Uzir.
-- BERNAMA
