EKONOMI

MALAYSIA PERLU TERUSKAN LIBAT URUS DIPLOMATIK SUSULAN SIASATAN 301 AS -- AHLI EKONOMI

12/03/2026 04:25 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Malaysia perlu bertindak meneruskan aspek libat urus diplomatik, memaparkan ketelusan dalam rantaian pembuatan dan bekalan selain mengukuhkan usaha pempelbagaian perdagangannya, kata ahli ekonomi.

Langkah ini susulan keputusan Amerika Syarikat (AS) melancarkan siasatan Seksyen 301 terhadap lebihan kapasiti pembuatan di beberapa negara, termasuk Malaysia.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata siasatan itu merupakan langkah prosedur yang diperlukan sebelum AS mengenakan langkah perdagangan selanjutnya.

“Siasatan Seksyen 301 lazimnya  satu langkah prosedur yang perlu dilaksanakan oleh AS sebelum mengenakan sebarang langkah perdagangan, khususnya selepas tindakan Mahkamah Agung negara maju itu membatalkan tarif sebelum ini.

“Ini bermakna siasatan itu sendiri tidak semestinya secara automatik diterjemah kepada (satu bentuk) tarif namun membolehkan Washington menilai sama ada dasar-dasar pembuatan atau paras pengeluaran tertentu membebankan perdagangan AS,” katanya kepada Bernama.

Mohd Sedek berkata pendedahan Malaysia terhadap siasatan itu kekal sederhana memandangkan langkah berkenaan menumpukan sektor-sektor pembuatan yang merupakan komponen utama eksport negara ini ke AS.

“Ini termasuk elektronik, semikonduktor dan jentera yang berkait rapat dengan asas pembuatan Malaysia. Namun, risiko utama adalah penelitian terhadap rantaian bekalan berbanding tarif lebih meluas terhadap eksport Malaysia,” katanya.

Beliau berkata siasatan AS itu juga berkemungkinan mempercepat penyusunan semula rantaian bekalan, terutama di serata Asia dan ASEAN.

“Apabila AS memulakan siasatan ke atas isu-isu seperti lebihan kapasiti dan amalan pembuatan, (ini akan menyebabkan) banyak syarikat akan meneliti semula lokasi pengeluaran masing-masing.

“Keadaan sedemikian akan mendorong peningkatan pempelbagaian rantaian bekalan dalam ASEAN berbanding hanya menumpukan beberapa negara tertentu,” katanya.

Mohd Sedek juga menyifatkan perkembangan terkini itu sebagai serampang dua mata -- memberi risiko serta peluang untuk Malaysia ketika  syarikat multonasional bertindak menilai semula strategi pengeluaran serantau masing-masing.

“Ada kemungkinan berlakunya pengawasan lebih ketat terhadap sektor-sektor seperti elektronik...namun pada masa sama ini memberi peluang jika syarikat multinasional terus bertindak memindahkan atau mempelbagaikan pengeluaran ke hab lebih stabil seperti Malaysia.

“Jika dibandingkan dengan beberapa negara di ASEAN, Malaysia sering dilihat sebagai pangkalan pembuatan yang secara relatifnya stabil dan berkecuali untuk pengeluaran serantau,” katanya.

Menjelaskan selanjutnya jika langkah perdagangan itu dikenakan, beliau berkata sektor paling berisiko tinggi termasuk elektronik dan elektrik, semikonduktor, jentera dan pembuatan bahan perantaraan.

Industri-industri itu membentuk komponen utama eksport Malaysia ke AS, kata beliau.

“Sebarang potensi impak itu kemungkinan besar adalah lebih khusus mengikut sektor dan bukannya secara meluas, terutama kesan ke atas rantaian bekalan berkaitan dengan segmen industri ini,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Sedek berkata kerjasama ASEAN juga penting memandangkan banyak rantaian bekalan beroperasi merentasi pelbagai negara di rantau ini.

“Sehubungan itu, penyelarasan dari segi peraturan asal serta ketelusan rantaian bekalan itu dapat membantu menangani kebimbangan AS selain mengekalkan ASEAN sebagai pangkalan pembuatan yang menarik dan diyakini,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan