MELAKA, 13 Mac (Bernama) -- Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka mengeluarkan 85 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) membabitkan kesalahan membuang sampah kecil di tempat dan jalan awam dari 1 Jan hingga semalam.
Pengarahnya Nor Zaki Md Nor berkata individu terlibat terdiri daripada 67 dewasa dan lima remaja tempatan, pelancong (dua dewasa dan seorang remaja) serta 10 pekerja warga asing dengan tindakan itu dilakukan mengikut Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
Beliau berkata kesemua individu itu berhadapan tindakan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) selama 12 jam dan denda sehingga RM2,000.
“Berdasarkan NPK, individu berkenaan termasuk remaja berusia antara 15 hingga 18 tahun dikesan membuang puntung rokok, tisu, botol air mineral dan plastik pembungkus.
“Pada sambutan ambang tahun baharu sahaja, tujuh individu diberikan notis kerana membuang sampah dan kesemua kes akan dibawa ke mahkamah secara berperingkat dengan sebutan pertama dijangka pada 1 April,” katanya.
Nor Zaki berkata demikian pada sidang media Strategi Operasi Hari Raya dan Iftar SWM Environment bersama Agensi Rakan Strategik, Media dan Anak Yatim 2026 di sini semalam.
Hadir sama Pengurus Besar Korporat SWM Environment Mohd Norlisam Mohd Nordin dan Pengurus Operasi Wilayah SWM Environment Melaka dan Johor Utara Khaw Su Aun.
Nor Zaki berkata semua kes itu dikesan menerusi operasi di lokasi tumpuan pelancong, tempat awam serta kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di Melaka, yang akan diteruskan sepanjang Aidilfitri bagi memastikan masyarakat tidak membuang sampah di tempat tidak dibenarkan.
Selain itu, beliau berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka bagi memudahkan proses mengesan individu yang membuang sampah dari kenderaan.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata pemantauan lebih kerap akan dilakukan di semua 22 tong sampah berpusat di Melaka bagi mengelak longgokan sampah tidak terkawal sepanjang Aidilfitri.
“Kita juga dalam usaha menambah lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan hotspot orang ramai membuang sampah secara haram,” katanya.
-- BERNAMA
