Oleh Ahmad Aidil Syukri Hamzah dan Muhammad Zulkarnain Mohd Azman
KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) -- Fenomena sukan pickleball di Malaysia bukan lagi sekadar aktiviti mengisi masa lapang, sebaliknya berevolusi menjadi sukan kompetitif yang menuntut tahap fizikal tinggi serta berisiko mengakibatkan kecederaan serius.
Walaupun asalnya dicipta pada 1965 sebagai permainan santai keluarga, transisi sukan itu kepada rentak permainan yang lebih pantas kini mula menampakkan “sisi gelap” kepada pemain yang tidak mempunyai persediaan fizikal mencukupi.
Ahli Terapi Urutan Sukan Profesional Mohd Azlan Othman berkata trend itu sebagai ancaman kepada sistem muskuloskeletal pemain sekiranya mereka gagal mengimbangi keghairahan bermain dengan keupayaan tubuh.
Beliau yang berpengalaman mengendalikan atlet elit di pentas Paralimpik berkata penggunaan peralatan moden seperti padel gentian karbon dan bola yang lebih laju telah memaksa pemain melakukan gerak kaki yang sangat agresif.
“Peralatan sekarang sudah bertukar, rali permainan pantas, speed up dan gerak kaki lateral sangat agresif. Jika kita lihat dalam sains pemulihan, kecederaan berlaku apabila kadar beban lebih tinggi daripada keupayaan otot,” katanya kepada Bernama.
Azlan turut memberi amaran bahawa beban permainan yang meningkat secara mingguan tanpa adaptasi otot mencukupi yang biasanya mengambil masa berbulan-bulan merupakan punca utama badan pemain “terbabas” sehingga mengakibatkan kecederaan seperti terseliuh buku lali dan masalah lutut.
Nada kebimbangan sama dikongsi ahli fisioterapi, Aiman Arief Abdul Aziz yang berkata corak permainan yang memerlukan pergerakan sisi pantas serta pemberhentian mengejut meletakkan bebanan luar biasa pada ligamen dan otot penstabil.
Beliau berkata elemen kompetitif yang meningkatkan intensiti permainan menyebabkan ramai pemain sebenarnya tidak bersedia dari segi kekuatan otot dan kestabilan sendi, sekali gus meningkatkan jumlah pesakit berkaitan sukan itu di klinik fisioterapi.
“Peralatan yang semakin canggih dan tempo permainan yang laju menimbulkan risiko overuse injuries (cedera lewah guna) kerana peralihan daripada santai ke agresif ini selalunya berlaku tanpa latihan kekuatan dan penyesuaian yang betul.
“Pergerakan lateral dan sudden stop paling membebankan lutut seperti ligamen krusiat anterior (ACL) dan ligamen kolateral medial (MCL), buku lali, serta pinggul kerana tekanan tinggi pada ligamen dan otot penstabil semasa mengejar bola yang laju,” katanya.
Realiti di Malaysia ini mencerminkan trend global seperti dilaporkan ESPN, yang menyatakan kos perubatan berkaitan pickleball di Amerika Syarikat dianggar mencecah USD350 juta (RM1.38 bilion) pada 2023.
Data antarabangsa turut menunjukkan lonjakan kes kecemasan termasuk peningkatan 90 kali ganda insiden patah tulang sejak 2020 yang majoritinya berpunca daripada insiden terjatuh di gelanggang, selain faktor usia pemain 40 tahun ke atas yang lebih berisiko akibat penurunan keanjalan tisu.
Bagi Presiden Laughing Pickle Club, sebuah kelab sosial pickleball di Lembah Klang, Muhamad Rohaizam Latib, tarikan sukan itu memang luar biasa sehingga membuatkan ramai pemain “melekat” berbanding sukan raket lain.
“Pemain cenderung mengejar setiap bola dink walaupun dalam keadaan tidak seimbang. Ramai pemain sosial juga gemar terus masuk ke gelanggang dan melakukan pukulan smash tanpa rutin regangan yang sepatutnya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihati penggiat sukan berkenaan agar tidak memandang remeh aspek persediaan fizikal dan mewajibkan pemanasan badan dinamik selama 10 hingga 15 minit bagi mengaktifkan sistem saraf serta menyediakan otot untuk pergerakan eksplosif.
-- BERNAMA
