JENAYAH & MAHKAMAH

MAYAT LELAKI DITEMUKAN DALAM LONGKANG DI IPOH

15/03/2026 11:42 PM

IPOH, 15 Mac (Bernama) -- Seorang lelaki tempatan ditemukan maut di dalam longkang berhampiran sebuah padang di Jalan Menglembu Impiana 12, Taman Menglembu Impiana Adril, di sini hari ini. 

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Muhammad Najib Hamzah berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian membabitkan mangsa berusia 19 tahun itu pada 11.45 pagi.

“Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa dijumpai dalam keadaan terlentang dengan kesan darah pada bahagian mulut.

“Pemeriksaan lanjut di tempat kejadian tidak menemukan sebarang kesan pergelutan atau unsur jenayah,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Beliau berkata hasil bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun mendapati punca kematian adalah akibat kecederaan pada kepala disebabkan jatuh dari tempat tinggi.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi melengkapkan siasatan.

Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

 -- BERNAMA


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan