PUTRAJAYA, 16 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan Mushaf Malaysia MADANI di Kompleks Percetakan Bersepadu Nasyrul Quran di sini, sebagai sebahagian daripada usaha memperkasa program tadabbur al-Quran di peringkat kebangsaan.
Mushaf berkenaan merupakan antara mushaf al-Quran hibrid terawal di negara ini yang menggabungkan keindahan seni khat dan seni Islam tempatan dengan inovasi digital bagi membolehkan masyarakat menghayati kitab suci itu secara lebih interaktif selaras dengan perkembangan teknologi semasa.
Setiap salinan mushaf diintegrasikan dengan kod respons pantas (QR) yang membolehkan pembaca mengakses pelbagai bahan sokongan secara digital seperti terjemahan dalam pelbagai bahasa, panduan tajwid serta penerangan berkaitan elemen sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) yang berkait dengan ayat al-Quran.
Ia turut menampilkan audio tilawah oleh pakar qiraat antarabangsa dari Mesir, Syaikh Ahmad Isa al-Ma’sarawi.
Penyalinan Mushaf Malaysia MADANI mengambil masa hampir lima tahun dan dikendalikan oleh penulis khat Yayasan Restu Ustaz Abdul Baki Abu Bakar yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang berkenaan.
Pada majlis sama, Perdana Menteri turut melancarkan satu kontena al-Quran wakaf di bawah Projek Wakaf Satu Juta Al-Quran yang mengandungi naskhah al-Quran berserta terjemahan dalam beberapa bahasa untuk komuniti Muslim di luar negara.
Antara terjemahan yang disediakan termasuk bahasa Sepanyol selain edisi bahasa Inggeris dan Perancis bagi komuniti Muslim di Kanada serta Amerika Syarikat.
Program itu mencerminkan komitmen Malaysia dalam memperluas penyebaran al-Quran ke peringkat global serta mempromosikan pemahaman nilai-nilai Islam kepada masyarakat antarabangsa.
Majlis pelancaran itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof serta Pengerusi Yayasan Restu merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Nasyrul Quran Datuk Dr Abdul Latiff Mirasa.
Turut hadir barisan Menteri Kabinet, pegawai kanan kerajaan, wakil kerajaan negeri serta perwakilan asing.
-- BERNAMA
