PUTRAJAYA, 16 Mac (Bernama) -- Cadangan untuk membangunkan Madinatul Al-Quran sebagai pusat pencetakan mushaf, pengajian serta penyelidikan al-Quran di rantau ini akan dibincangkan dalam masa terdekat bersama Yayasan Restu dan pihak berkaitan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata cadangan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof itu dilihat berpotensi menjadi projek ummah yang melibatkan penyertaan masyarakat Islam di dalam dan luar negara.
“Rencana untuk membina umpamanya Madinatul Al-Quran, saya Insya-Allah dalam satu dua hari akan bincang dengan Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu Datuk Abdul Latiff Mirasa.
“Cadangan ini bukan sahaja untuk menjadikan ia sebagai gedung tetapi dengan pengisian jauh lebih besar daripada direncanakan supaya ia dapat berfungsi bukan saja pusat pencetakan Mushaf tetapi juga untuk menjadikan pusat pengajian, institusi penyelidikan utama di rantau ini.
“Kita juga mungkin boleh kerjasama dengan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan universiti-universiti tempatan,” katanya ketika berucap pada majlis peluncuran Mushaf Malaysia MADANI di sini hari ini.
Anwar berkata usaha itu merupakan satu ikhtiar besar yang wajar dilihat sebagai projek penting negara dalam kerangka pembangunan negara MADANI.
“Di dalam negara MADANI, paksinya harus keyakinan dan keyakinan itu terasnya adalah keyakinan agama serta aqidah,” katanya.
Perdana Menteri berkata pembangunan negara dari segi ekonomi, sosial dan teknologi juga perlu berpaksikan nilai kemanusiaan yang diasaskan oleh ajaran al-Quran kerana kefahaman dan tadabbur terhadap kitab suci itu mampu memberi panduan dalam membezakan perkara yang makruf dan mungkar.
Beliau turut menegaskan pembinaan generasi pewaris negara juga perlu bertunjangkan nilai yang digariskan dalam al-Quran.
“Para alim menyebut bahawa pembinaan generasi itu adalah generasi al-Quran atau Jilun Qur’aniyun. Ia harus menjadi generasi yang istimewa, bukan sekadar pembangunan dan pertumbuhan biasa,” katanya.
Anwar turut mengimbau sejarah awal usaha penerbitan mushaf al-Quran di Malaysia yang bermula daripada idea untuk menghasilkan mushaf sendiri sebagai sumbangan kepada umat Islam.
Beliau berkata sepanjang lawatan rasmi ke beberapa negara termasuk Peru, Brazil, Afrika Selatan, Itali dan Jerman, mushaf al-Quran keluaran Malaysia sering dibawanya sebagai hadiah kepada masyarakat Islam setempat.
“Di mana-mana saya pergi, saya membawa mushaf al-Quran untuk disampaikan kepada umat Islam. Yang besar diletakkan di masjid, sederhana diberikan kepada guru agama dan yang kecil kepada mereka yang biasa dengan hafalan,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu ialah Fadillah; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan serta Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.
Ahmad Maslan menerusi hantaran di Facebook sebelum ini memaklumkan projek Madinatul Al-Quran dijangka siap pada awal 2028.
-- BERNAMA
