KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Sunway Healthcare Holdings Bhd (SHH) mencatatkan untung bersih yang rendah kepada RM252.21 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2025 daripada RM257.50 juta pada tahun sebelumnya.
Kumpulan itu bagaimanapun berkata pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) meningkat kepada RM510.4 juta bagi tahun kewangan 2025 daripada RM469.7 juta pada tahun kewangan 2024, disumbangkan oleh prestasi operasi yang lebih kukuh dalam segmen operasi hospital.
Hasil SHH juga meningkat kepada RM2.20 bilion berbanding RM1.85 bilion pada tahun kewangan 2024, disokong oleh hasil segmen operasi hospital yang meningkat 19 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Kenaikan ini didorong oleh pertumbuhan yang lebih kukuh di hospital sedia ada dan sumbangan daripada hospital baharu yang mula beroperasi dan tidak beroperasi pada tahun sebelumnya.
“Hasil daripada pesakit asing turut meningkat kepada RM304.7 juta daripada RM220.4 juta, mewakili pertumbuhan tahun ke tahun yang ketara sebanyak 38 peratus, didorong oleh pesakit dari Indonesia, China dan Kemboja,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Kumpulan itu berkata kadar penghunian katil keseluruhannya untuk tahun kewangan 2025 ialah 69 peratus berbanding 79 peratus pada tahun sebelumnya.
“Tidak termasuk hospital yang baru dibuka, kadar penghunian katil bagi tahun kewangan semasa ialah 73 peratus, menunjukkan penggunaan katil yang sihat di seluruh hospital yang sedia ada,” katanya.
Bagi suku keempat tahun kewangan 2025, SHH mencatat keuntungan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM112.38 juta berbanding RM78.40 juta dalam tempoh sama tahun lepas, manakala hasil meningkat kepada RM614.64 juta daripada RM506.73 juta yang direkodkan pada suku keempat 2024.
Dalam satu kenyataan berasingan, Presiden dan Pengarah Eksekutif Bukan Bebas SHH Datuk Lau Beng Long berkata prestasi syarikat bagi tahun kewangan 2025 menunjukkan kekuatan ekosistem penjagaan kesihatan bersepadu kumpulan itu dan permintaan berterusan terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta yang berkualiti tinggi di Malaysia.
“Walaupun tahun kewangan 2025 merupakan tahun pertumbuhan yang pesat dengan pembukaan Sunway Medical Centre (SMC) Damansara dan SMC Ipoh, kumpulan mencatatkan pertumbuhan hasil yang kukuh dengan mengekalkan komitmen kami terhadap kecemerlangan klinikal dan mengembangkan bahagian pasaran pelancongan perubatan kami,” katanya.
Beliau berkata kumpulan itu juga kekal fokus untuk memperdalam keupayaan klinikal, mengembangkan dan mengoptimumkan kapasiti di seluruh rangkaiannya serta memanfaatkan inisiatif digital dan berasaskan data bagi meningkatkan kecekapan operasi dan pengalaman pesakit.
Berhubung prospeknya, SHH berkata ia kekal optimis dan berhati-hati pada tahun kewangan 2026 walaupun wujud tekanan daripada pihak pembayar yang berterusan, disokong oleh permintaan yang berdaya tahan terhadap perkhidmatan kesihatan swasta, penstabilan progresif hospital yang baru beroperasi dan tumpuan berterusan terhadap pengoptimuman aset serta dan kecekapan operasi.
"Keputusan Kementerian Kesihatan untuk menangguhkan pelaksanaan sistem kumpulan berkaitan diagnosis (DRG) sehingga 2027 memberikan kejelasan yang lebih baik dan membolehkan peralihan yang lebih teratur, sementara kumpulan itu terus meningkatkan kesiapsiagaan sistem dan keupayaan organisasi dalam pengekodan dan dokumentasi klinikal,” tambahnya.
-- BERNAMA
