AM

BANK MUAMALAT SANTUNI LEBIH 7,000 PENERIMA MENERUSI INISIATIF RAMADAN TERINDAH, BERSAMA

16/03/2026 01:57 PM

KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) meneruskan komitmen memperkasa komuniti sepanjang Ramadan melalui pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat berskala nasional berjumlah lebih RM300,000 yang memanfaatkan lebih 7,000 penerima di seluruh negara.

Di bawah tema “Ramadan Terindah, Bersama”, Bank Muamalat melaksanakan rangkaian program kebajikan sepanjang Februari hingga Mac 2026 yang memfokus kepada bantuan keperluan asas, perkongsian rezeki dan pengukuhan hubungan bersama komuniti. 

Bank Muamalat dalam kenyataan hari ini memaklumkan antara inisiatif utama yang dilaksana ialah sumbangan kit barangan dapur kepada keluarga asnaf, program rewang bubur lambuk bersama komuniti, edaran pek makanan iftar kepada rakan media dan petugas barisan hadapan, ziarah kebajikan ke rumah anak yatim serta majlis berbuka puasa bersama anak yatim di empat wilayah utama negara. 

“Sebagai permulaan, program Kit Ramadan yang dilaksana pada 10 Feb di kesemua 14 negeri telah menyantuni keluarga asnaf dan pertubuhan kebajikan dengan sumbangan barangan keperluan asas bagi membantu meringankan perbelanjaan menjelang Ramadan.

“Program Rewang Bubur Lambuk pula dianjurkan dari 23 Feb hingga 12 Mac dengan penglibatan warga kerja dan sukarelawan Bank Muamalat di seluruh negara sekali gus memperkukuh semangat kebersamaan dan ukhuwah bersama komuniti setempat,” menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, Bank Muamalat mengedarkan lebih 1,500 pek makanan iftar kepada rakan media serta petugas barisan hadapan di wilayah tengah sebagai tanda penghargaan atas komitmen dan khidmat mereka kepada masyarakat selain meraikan 50 rakan media dalam program "Sembang Santai Moreh Bersama Bank Muamalat". 

Menurut Bank Muamalat, program Ziarah Ramadan juga dilaksanakan dengan menyantuni lapan rumah kebajikan anak yatim di wilayah tengah melalui sumbangan serta aktiviti interaksi yang membawa kegembiraan kepada anak-anak yang diraikan.

“Selain itu, Majlis Berbuka Puasa Wilayah turut dianjurkan di Kelantan, Pulau Pinang, Johor dan Kuching melibatkan enam rumah kebajikan dengan kehadiran seramai 205 anak-anak yatim dan asnaf sekali gus meraikan mereka dalam suasana penuh kasih sayang dan keberkatan Ramadan,” menurut kenyataan itu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Datuk Khairul Kamarudin berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan bank berkenaan dalam memperkasa komuniti selaras dengan prinsip maqasid syariah.

“Ramadan adalah bulan penuh keberkatan yang mengajar kita nilai empati, ihsan dan tanggungjawab sosial… melalui inisiatif 'Ramadan Terindah, Bersama', Bank Muamalat bukan sekadar menyalurkan sumbangan tetapi juga berusaha menyentuh hati dan kehidupan mereka yang memerlukan.

“Kami percaya institusi kewangan Islam perlu memainkan peranan lebih besar daripada sekadar menyediakan perkhidmatan perbankan... ia juga perlu menjadi pemangkin kesejahteraan ummah dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat secara menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata pelaksanaan program di seluruh negara turut memperlihat komitmen tinggi warga kerja Bank Muamalat yang turun padang sebagai sukarelawan sekali gus memperkukuh budaya organisasi yang berteraskan nilai ihsan, integriti dan kebersamaan.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan