AM

GAMALUX OILS BAWA KEGEMBIRAAN RAMADAN KEPADA 60 ANAK YATIM DI KLANG

16/03/2026 01:51 PM

SHAH ALAM, 16 Mac (Bernama) -- Gamalux Oils Sdn Bhd (GOils) menyantuni kira-kira 60 anak yatim dalam Program Iftar bersama-sama Rumah Anak Yatim dan Miskin Sungai Pinang, Klang pada Sabtu lepas.

GOils dalam kenyataan memaklumkan program tersebut mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam memupuk nilai keprihatinan sosial dan semangat berkongsi rezeki, khususnya pada Ramadan yang penuh rahmat.

“Program ini menyaksikan wakil pengurusan dan pekerja GOils berkunjung ke rumah kebajikan tersebut bagi menyantuni anak yatim yang menetap di sana.

“Kehadiran pasukan GOils bertujuan untuk berkongsi rezeki dan menceriakan anak-anak tersebut dalam suasana penuh keberkatan sempena Ramadan,” menurut kenyataan itu.

Pada majlis itu, hadirin turut bersama-sama menikmati juadah berbuka puasa sebelum solat maghrib berjemaah dalam suasana penuh kesyukuran dan ukhuwah.

Sebagai tanda keprihatinan dan sokongan, GOils turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada semua anak yatim yang diraikan bagi memberi kegembiraan dan membantu mereka membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Program itu antara inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) tahunan GOils yang bertujuan menyumbang kembali kepada masyarakat di samping memperkukuh hubungan dengan komuniti setempat.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan