Oleh Siti Nur Athirah Abdullah dan Yasmin Damia Mohd Rizal
KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Berkunjung ke Perancis, lebih-lebih lagi kota Paris, sememangnya menjadi impian kebanyakan orang. Namun, di sebalik keindahan itu, ada kisah yang sering menjadi mimpi ngeri atau kerisauan ramai, iaitu kebimbangan menjadi mangsa penyeluk saku.
Sehubungan dengan itu, Duta Besar Malaysia ke Perancis Datuk Edleen Husaini Mohd Hasim mengingatkan mereka yang berkunjung ke Paris, walaupun teruja menikmati keindahan bandar raya itu, aspek keselamatan tidak harus diabaikan sama sekali.
Beliau berkata pihak kedutaan menerima purata dua laporan setiap bulan daripada rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penyeluk saku ketika melancong ke negara berkenaan.
“Pihak polis Perancis dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini kini sangat agresif dalam membanteras serta menangani geng penyeluk saku yang semakin berani,” katanya kepada Bernama.
Edleen turut menasihati pelancong supaya sentiasa memantau barangan berharga seperti dompet, kamera dan telefon bimbit, selain peka dengan keadaan sekeliling terutamanya apabila didatangi individu tidak dikenali.
“Pelancong perlu berhati-hati sekiranya ada individu cuba mendekati untuk menjual sesuatu atau bertanyakan sesuatu kerana ia mungkin taktik untuk mengalihkan perhatian.
“Pihak kedutaan sentiasa bersedia membantu rakyat Malaysia yang menghadapi kesusahan, namun adalah lebih baik jika kita sendiri saling mengingatkan demi kesejahteraan bersama,” katanya sambil mengucapkan Selamat Hari Raya kepada seluruh rakyat Malaysia dan mengalu-alukan kehadiran mereka ke kedutaan sekiranya berkesempatan.
Sementara itu, tinjauan dalam platform media sosial mendapati ramai yang berkongsi pengalaman pahit menjadi mangsa jenayah berkenaan sehingga mengakibatkan kerugian besar dan trauma.
Seorang pengguna aplikasi Threads, @mia.rosli menceritakan detik cemas apabila beg yang diletakkan di celah kakinya hilang dalam sekelip mata ketika dia sedang sibuk menggunakan telefon untuk menempah teksi.
Meskipun berjaya menuntut insurans perjalanan sebanyak RM1,200 bagi menampung sebahagian kerugian, pengalaman kehilangan barangan yang baru dibeli ketika melancong di London menyebabkannya serik untuk kembali ke Paris.
Seorang lagi mangsa, @mia.hanes23 pula menceritakan pengalaman 'lucu' apabila kehilangan bank kuasa atau power bank dan dompet syiling ketika berada di dalam tren, dan dipercayai barangan itu dianggap sebagai telefon bimbit oleh penyeluk saku.
Beliau berkata setelah membuat laporan polis, dia dan seorang rakan yang juga kehilangan pasport pergi ke Kedutaan Malaysia di Paris bagi mendapatkan dokumen perjalanan sementara.
Perkongsian di TikTok oleh @miez_eyza mendedahkan rakannya kehilangan wang tunai Euro di sebuah pusat beli-belah popular di London selepas didekati beberapa individu secara dekat, sebelum dompet mangsa ditemukan semula dengan dokumen pengenalan diri dan kad bank masih ada, namun kesemua wang tunai lesap.
“Penyeluk saku di bandar itu sangat mahir dan berpengalaman. Orang ramai dinasihatkan supaya menggunakan beg yang mempunyai beberapa lapisan zip dan menyimpan kad di ruang berasingan sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya menerusi video yang dikongsi dalam aplikasi berkenaan.
Bagi pengguna TikTok @izaabolivar pula, dia mengakui trauma selepas menyaksikan jam tangan mewah milik rakannya dicuri dalam tempoh hanya dua minit selepas dihampiri seorang lelaki tidak dikenali yang berpura-pura meminta rokok.
“Selepas kira-kira dua minit individu tidak dikenali itu pergi, lelaki itu menyedari jam tangannya hilang,” katanya sambil menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mengelakkan daripada berinteraksi dengan individu yang tidak dikenali.
-- BERNAMA
