KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Rakyat Malaysia perlu menolak sebarang bentuk provokasi perkauman dan tidak mudah terpengaruh dengan sebarang fitnah berbaur perkauman serta ekstremis agama yang sengaja dimainkan oleh pihak tidak bertanggungjawab sejak kebelakangan ini.
Menerusi hantaran Facebook, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata Kerajaan MADANI terus komited memastikan perpaduan dan keharmonian masyarakat sentiasa terpelihara.
“Kerajaan MADANI tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menggugat ketenteraman awam melalui penyebaran fitnah, hasutan atau kenyataan berbaur perkauman.
“Jangan sekali kita terpengaruh atau bertindak balas terhadap provokasi puak-puak pelampau yang mempunyai agenda tersembunyi. Biarlah pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mengambil tindakan mengikut lunas undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Iftar Ramadan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan bersama Rakan Media di sebuah restoran, di sini malam ini.
Turut hadir Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Arul Rajoo Durar Raj, Ketua Pegawai Kandungan Star Media Group Datin Paduka Esther Ng Sek Yee, Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian Zamri Rambli, dan pemangku Ketua Pengarang Astro AWANI Zaiful Mohd Ariffin.
Dalam pada itu, Nga turut menekankan bahawa peranan media amat penting dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan bertanggungjawab kepada rakyat.
“Majlis Iftar malam ini bukan sahaja menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara kementerian dan pengamal media, tetapi juga sebagai peringatan bahawa kita semua mempunyai tanggungjawab bersama untuk mengekalkan keharmonian, perpaduan dan keamanan negara,” katanya.
Selain itu, Nga meminta seluruh rakyat Malaysia bersatu hati di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mengharungi cabaran ekonomi dan politik susulan krisis yang melanda Asia Barat ketika ini.
“Saya tegaskan negara memerlukan kestabilan dan keamanan untuk menghadapi cabaran akibat krisis Asia Barat. Inilah masa semangat perpaduan perlu ditonjolkan demi kepentingan masa depan negara,” katanya.
-- BERNAMA
