JASIN, 17 Mac (Bernama) -- Kerajaan Negeri Melaka mengambil langkah proaktif memastikan liputan internet sekurang-kurangnya bertaraf 4G di beberapa kawasan luar bandar dapat dinikmati menjelang Aidilfitri, susulan peningkatan penggunaan data ketika anak perantau pulang ke negeri itu.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata langkah itu dilaksanakan menerusi kerjasama syarikat telekomunikasi di bawah projek Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) bagi memastikan rangkaian komunikasi berada pada tahap optimum sepanjang musim perayaan.
“Melaka ICT Holdings Sdn Bhd (MICTH) dan CelcomDigi diarahkan mengambil tindakan interim segera, termasuk mempercepatkan penyiapan infrastruktur telekomunikasi di beberapa kawasan luar bandar yang dikenal pasti mempunyai liputan lemah.
“Susulan itu, CelcomDigi dipertanggungjawabkan memasang peralatan radio telekomunikasi yang disokong bekalan elektrik sementara menggunakan genset, dengan sasaran siap dan beroperasi secara berperingkat,” katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi struktur baharu menara telekomunikasi di Kampung Air Repat, Nyalas, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Fairul Nizam berkata sebanyak lapan struktur menara telekomunikasi baharu telah siap dan mula diaktifkan secara berperingkat sehingga 19 Mac, termasuk tapak CelcomDigi di Kampung Air Repat yang mula beroperasi hari ini.
Katanya selain itu, tujuh lagi tapak melibatkan Kampung Batu Gajah, Kampung Chenderah, Kampung Pondok Batang, Kampung Baru Tanah Pinggir Meriang, Kampung Seri Kesang dan Kampung Tersusun Datuk Mohd Hidhir, manakala Taman Panglima Pak kini berada pada fasa akhir pemasangan peralatan.
“Saya berharap masalah liputan yang sekian lama dihadapi di kawasan terlibat dapat diatasi sekali gus memberikan keselesaan kepada masyarakat setempat serta anak perantau yang pulang menyambut Hari Raya,” katanya.
Beliau berkata bagi penyedia perkhidmatan Maxis, tiga tapak iaitu di Taman Bemban Heights, Asahan dan Kampung Permatang Tulang juga siap beroperasi.
“Manakala sembilan lagi tapak melibatkan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) Alor Gajah, Kampung Kuala Linggi, Kampung Beringin/Parit Melana, Jalan Lesung Batu, Kolej Profesional MARA, Kampung Paya Lebar, Hutan Botanikal dan Hospital Jasin sedang melalui proses permohonan tanah, penyediaan cadangan teknikal serta kelulusan melalui Pusat Setempat (OSC),” katanya.
Dalam pada itu, Fairul Nizam berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), MICTH serta wakil syarikat telekomunikasi turut diarahkan turun padang bagi melaksanakan pemeriksaan dan pengujian di tapak yang telah siap beroperasi bagi memastikan kapasiti dan kualiti perkhidmatan stabil.
Beliau turut menggalakkan orang ramai memuat turun aplikasi MCMC Nexus bagi menguji kelajuan internet serta melaporkan isu liputan secara masa nyata kepada pihak pengawal selia dan syarikat telekomunikasi.
-- BERNAMA
