AM

AIDILFITRI: KTMB TAWAR 251,752 TEMPAT DUDUK - LOKE

17/03/2026 06:48 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyediakan 251,752 tempat duduk bagi perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan KTM Intercity bersempena dengan sambutan Aidilfitri, jumlah terbesar dalam sejarah pengoperasian syarikat itu.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata jumlah itu dipacu oleh penambahan 228 perjalanan tren tambahan bagi tempoh 17 hingga 29 Mac, sekali gus mencatat peningkatan 113 peratus berbanding hanya 118,440 tempat duduk yang disediakan pada tahun lepas.

“Penambahan perjalanan tren ETS pada tahun ini turut disokong oleh penerimaan penuh 10 set ETS3 selain set-set ETS sedia ada, sekali gus membolehkan KTMB mengoptimumkan kapasiti perkhidmatan untuk memudahkan rakyat pulang ke kampung halaman,” katanya ketika ditemui selepas menyantuni penumpang dan mengedarkan 500 pek hari raya kepada penumpang KTMB di KL Sentral, di sini hari ini.

Beliau berkata daripada jumlah perjalanan tambahan itu, sebanyak 196 melibatkan perkhidmatan ETS, manakala 32 lagi bagi perkhidmatan EMU Plus, dengan kekerapan perjalanan meningkat kepada 64 perjalanan sehari dan pengoperasian hampir 24 jam sepanjang tempoh puncak.

“Sebagai perbandingan, kita menambah hingga 196 trip tambahan ETS pada tahun ini berbanding hanya 56 trip tahun lepas, iaitu peningkatan hampir 250 peratus. Kita mahu mengoptimumkan aset-aset sedia ada supaya lebih ramai rakyat dapat menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam untuk pulang ke kampung dengan selesa dan selamat,” katanya.

Dalam pada itu, Loke berkata setakat 9 pagi tadi, tiket ETS berjadual (normal trip) mencatat jualan sebanyak 177,796 atau 99 peratus, manakala baki 34,964 tiket ETS tambahan dan 5,912 tiket EMU Plus masih boleh diperoleh orang ramai.

Bagi perkhidmatan Ekspres Rakyat Timuran (ERT) laluan JB Sentral–Tumpat, KTMB menambah empat koc tambahan, meningkatkan kapasiti kepada 13,910 tempat duduk, dengan 95 peratus daripadanya telah terjual.

“Kita turut menyediakan perkhidmatan Ekspres Lambaian Aidilfitri (ELA) bagi edisi Pantai Timur dan Utara sebagai inisiatif tambahan untuk memenuhi keperluan rakyat," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan