AM

FGV HARGAI POLIS TRAFIK, AGIH 2,000 PEK BUBUR LAMBUK

18/03/2026 12:00 AM

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- FGV Holdings Berhad (FGV) menyalurkan sumbangan kepada lebih 40 penerima serta mengedarkan 2,000 pek bubur lambuk kepada anggota polis trafik dan orang ramai sempena Majlis Pelancaran Ops Selamat 26 serta majlis berbuka puasa bersama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), hari ini.

Program yang berlangsung di Sogo Kuala Lumpur itu merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) FGV di bawah “FGV Seikhlas Hati”, yang memfokuskan keselamatan jalan raya, kelancaran trafik serta kesejahteraan komuniti sepanjang musim perayaan.

Ketua Pegawai Komunikasi Strategik FGV Azmi Yaakop berkata program berkenaan adalah tanda penghargaan kepada warga polis trafik yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran aliran trafik khususnya pada musim perayaan ini.

“Ini adalah satu cara kami untuk menyampaikan penghargaan dan tanda terima kasih kami daripada FGV kepada seluruh warga polis trafik di Malaysia kerana menjalankan tugas dengan amanah dan penuh tanggungjawab.

“Insya-Allah, dengan bantuan polis trafik ini, perjalanan trafik sepanjang musim perayaan akan menjadi lebih lancar dan selamat,” katanya pada sidang media majlis berkenaan di sini.

Beliau berkata FGV turut menyampaikan sumbangan kepada lebih 40 penerima yang terdiri daripada balu anggota polis trafik, ibu tunggal, anak yatim serta golongan kurang upaya.

Katanya setiap penerima menerima sumbangan tunai RM200 selain barangan keperluan harian keluaran syarikat itu.

“Ini adalah tanda penghargaan kami kepada warga polis trafik dan keluarga mereka. Walaupun tidak seberapa, diharapkan sumbangan ini dapat membantu meringankan beban dalam membuat persiapan Hari Raya,” katanya.

Beliau berkata inisiatif itu merupakan kerjasama pertama antara FGV dan JSPT, selain usaha memperluaskan sumbangan kepada kumpulan yang kurang mendapat perhatian.

Katanya FGV akan terus memperluaskan inisiatif CSR termasuk bantuan musim banjir, sumbangan persekolahan serta kerjasama dengan agensi berkaitan seperti pusat zakat bagi membantu golongan memerlukan.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan