PUTRAJAYA, 19 Mac (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama-sama syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi (telco) mengambil langkah proaktif memperkukuh rangkaian komunikasi di seluruh negara bersempena dengan sambutan Aidilfitri 2026.
MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan usaha itu bertujuan memastikan orang ramai terus menikmati perkhidmatan komunikasi yang lancar dan stabil termasuk membuat panggilan, menghantar mesej, melayari Internet serta berhubung melalui video, khususnya ketika pulang ke kampung.
Menurut kenyataan itu, sebanyak 866 inisiatif pengukuhan rangkaian sementara telah dilaksana sejak awal Mac oleh telco bagi menampung peningkatan trafik komunikasi sepanjang musim perayaan.
Daripada jumlah itu, sebanyak 774 inisiatif melibatkan kerja pengoptimuman rangkaian bagi meningkatkan kualiti liputan dan kapasiti diikuti 27 inisiatif pengaktifan serta modenisasi rangkaian 5G, 21 inisiatif penyediaan penyelesaian sementara seperti Portable Base Transceiver Station dan Cellular on Wheel selain kerja naik taraf rangkaian dan perkongsian infrastruktur antara pengendali.
Langkah itu memberi tumpuan kepada lokasi berisiko tinggi mengalami kesesakan rangkaian seperti lebuh raya utama, kawasan rehat dan rawat, hentian sebelah, destinasi pelancongan serta tempat tumpuan orang ramai.
Dalam pada itu, semua telco diarah memantau prestasi rangkaian secara berterusan dan mengambil tindakan segera sekiranya berlaku gangguan atau penurunan kualiti perkhidmatan.
MCMC turut memainkan peranan sebagai penyelaras dan pemantau melalui pejabat negeri termasuk melaksanakan pemantauan lapangan secara responsif di lokasi kritikal.
Orang ramai yang berdepan masalah rangkaian disaran menghubungi telco masing-masing atau menyalurkan aduan melalui portal rasmi MCMC bagi membolehkan tindakan susulan diambil dengan segera.
MCMC menegaskan komitmennya untuk memastikan rakyat terus menikmati perkhidmatan komunikasi yang lancar dan selamat khususnya pada waktu penting seperti Aidilfitri ketika orang ramai pulang ke kampung dan meluangkan masa bersama dengan keluarga.
-- BERNAMA
