KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Keterujaan menyambut 1 Syawal jelas terpancar di wajah perantau yang mula membanjiri stesen bas utama di ibu negara malam tadi, untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.
Kebanyakan mereka yang ditemui Bernama berasa lega dan bersyukur kerana berjaya mendapatkan tiket selain menyifatkan perkhidmatan bas ekspres sebagai pilihan terbaik berikutan kesesakan luar biasa di lebuh raya.
Walaupun ruang legar Terminal Bersepadu Gombak (TBG) dipenuhi orang ramai, pergerakan penumpang ke platform pelepasan tetap teratur dan terkawal hasil pengurusan terminal yang lancar, termasuk penyediaan tiket bas tambahan.
Bagi pekerja bank Amir Asyraf, 28, yang kali pertama pulang beraya menaiki bas ke Tanah Merah, Kelantan berkata pemilihan pengangkutan awam itu bagi mengelakkan keletihan memandu sendiri meredah kesesakan selama berjam-jam.
"Saya tak nak memandu sebab saya nak elak tekanan. Kemudiannya, sebab saya sendiri nak rasa pengalaman balik kampung guna pengangkutan awam," katanya.
Di Hentian Duta pula, tinjauan mendapati suasana tenang walaupun stesen berkenaan menjadi tumpuan warga kota bagi perjalanan saat akhir ke utara tanah air.
Bagi operator kilang Salwa Hamzah, 49, ketiadaan kenderaan sendiri menyebabkan dia memilih perkhidmatan bas ekspres bersama anak lelakinya yang berusia 14 tahun untuk pulang beraya di Parit Buntar, Perak sejak tiga tahun lepas.
Salwa yang telah membuat pembelian tiket seawal minggu pertama Ramadan bersyukur kerana sistem pembelian dalam talian yang sistematik memudahkan urusannya tanpa perlu berdepan kehabisan tiket.
"Harga tiket pun masih macam biasa," katanya.
Pekerja swasta Iza Samsudin, 32, yang merantau di ibu kota berkata dia memilih pendekatan lebih selamat dengan menaiki bas ekspres ke Jitra Kedah, biarpun mempunyai kenderaan sendiri.
"Saya tak mahu memandu sebab balik seorang diri. Risau juga kalau tiba-tiba mengantuk di pertengahan jalan, tiada siapa boleh tolong ganti memandu, apatah lagi saya terus bertolak (ke terminal bas) selepas tamat waktu pejabat hari ini," katanya.
Umat Islam di seluruh negara akan menyambut Aidilfitri esok.
-- BERNAMA
