DUNIA

NIAGA HADAPAN FBM KLCI DIJANGKA DINIAGAKAN DALAM SENTIMEN BERHATI-HATI MINGGU DEPAN

21/03/2026 10:42 AM

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka kekal dalam fasa konsolidasi minggu depan sejajar dengan sentimen berhati-hati dalam pasaran tunai.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata minggu depan dijangka didorong oleh peralihan sektor yang aktif berbanding hala tuju pasaran yang jelas.

“Kami menjangka dagangan kekal berhati-hati menjelang pengumuman data ekonomi yang penting minggu depan, dengan tumpuan kepada pelaburan langsung asing China bagi Februari dan Indeks Pengurus Pembelian Amerika Syarikat bagi Mac.

“Selepas situasi tidak menentu pada pertengahan Mac apabila FBM KLCI mencapai paras 1,685 sebelum meningkat kepada julat 1,720 hingga 1,730, kami menjangka pasaran kekal dalam fasa konsolidasi yang berhati-hati,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, katanya sektor berkaitan komoditi, terutamanya perladangan dan tenaga sektor huluan, dijangka mencatatkan prestasi yang lebih baik dalam kenaikan harga minyak sawit mentah dan minyak mentah.

“Kami menasihatkan pelabur untuk terus memantau perkembangan konflik di Asia Barat, dengan FBM KLCI dijangka diniagakan dalam julat 1,690 hingga 1,740 yang tidak menentu minggu depan,” katanya.

Pada asas Jumaat kepada Khamis, kontrak Mac 2026 meningkat 38.5 mata kepada 1,719.50, April 2026 naik 38.0 mata kepada 1,721.0, Jun 2026 menambah 39.0 mata kepada 1,720.50 dan September 2026 menokok 34.0 mata kepada 1,700.0.

Jumlah dagangan mingguan pada minggu tersebut merosot kepada 30,374 lot daripada 46,465 lot minggu lepas manakala kepentingan terbuka naik kepada 42,127 kontrak daripada 40,472 kontrak sebelum ini.

Pada asas Jumaat kepada Khamis, FBM KLCI meningkat 21.86 mata kepada 1,720.71 daripada 1,698.85 minggu lepas.

Bursa Malaysia dan anak syarikatnya akan ditutup dari Jumaat hingga Isnin depan sempena Hari Raya Aidilfitri dan akan beroperasi semula pada Selasa (24 Mac 2026).

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan