AM

AGONG, PERMAISURI BERKENAN BERANGKAT RUMAH TERBUKA ISTANA JOHOR

22/03/2026 03:25 PM

JOHOR BAHRU, 22 Mac (Bernama) -- Lebih 20,000 rakyat pelbagai kaum membanjiri Majlis Rumah Terbuka Istana Johor di Istana Besar, di sini hari ini.

Seawal 6.30 pagi, orang ramai telah mula beratur di hadapan pintu pagar istana, hadir bersama keluarga masing-masing bagi merasai sendiri pengalaman beraya di istana yang menyediakan lebih 17 gerai pelbagai juadah tradisional dan moden.

Antara hidangan yang menjadi tumpuan termasuk ketupat, lemang, rendang, KFC, selain kuih-muih serta banyak lagi.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke majlis rumah terbuka berkenaan.

Keberangkatan Sultan Ibrahim ditemani Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah bersama Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail dan isteri, Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor serta putera-puteri baginda.

Hadir sama Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi dan isteri, Datin Sharmin Fazlina Mohd Shukor.

Selepas selesai majlis santapan, Raja Zarith Sofiah berkenan bersalaman dengan pengunjung yang hadir, disertai Tunku Mahkota Ismail dan Che’ Puan Mahkota Khaleeda.

Rata-rata pengunjung yang ditemui Bernama menzahirkan rasa gembira apabila berpeluang berjumpa kaum kerabat diraja.

Bagi penjawat awam, Zairi Karim, 42, berkata meskipun sudah tahun kelima berkunjung ke rumah terbuka istana, beliau sekeluarga tetap akan hadir walaupun terpaksa beratur lama.

“Saya tetap akan datang sebab nak jumpa kaum kerabat diraja kita yang disayangi. Saya orang Johor, saya sayang sultan saya. Saya beratur seawal 8.30 pagi, sejam kemudian baru dapat masuk,” kata bapa kepada empat anak itu.

Pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dari Nigeria, Adamu Chiroma yang mengenakan pakaian baju Melayu lengkap, berasa gembira dapat meraikan Aidilfitri di negara orang.

“Bila kita berada di negara orang, kita perlu menyesuaikan diri dan cuba menjadi sebahagian daripada mereka, sebab itu saya pakai baju Melayu dan berasa sangat gembira. Hari ini, makanan yang disediakan sangat sedap dan rakyat Malaysia sangat peramah,”  katanya.

--BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan