SEREMBAN, 22 Mac (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan memaklumkan sebuah kedai buku dua tingkat di Jalan Dato’ Sheikh Ahmad di sini terbakar malam ini.
Komander Operasi Kanan JBPM negeri Mohd Hanafi Wahid berkata kebakaran berlaku kira-kira 9 malam, namun tiada mangsa dilaporkan terlibat.
“Setakat ini anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban dibantu BBP Seremban 2 sedang giat menjalankan operasi pemadaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kebakaran bagaimanapun, dapat dikawal pada 11.34 malam.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan JBPM Negeri Sembilan Muhammad Syazwan Tajuddin berkata kebakaran dilaporkan berlaku di kawasan hutan di Taman Bukti, Ampangan dengan operasi pemadaman sedang dilakukan tujuh anggota BBP Senawang.
Beliau berkata bomba menerima laporan kejadian pada kira-kira 9 malam namun keluasan kawasan terlibat masih dalam siasatan kerana persekitaran gelap.
“Laporan komander operasi memaklumkan kebakaran melibatkan lereng bukit hutan,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata hutan itu berdekatan dengan kawasan perumahan namun keadaan masih terkawal.
-- BERNAMA
