KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) diarah menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) gerai jualan bunga api sementara di seluruh negara bagi memastikan musim perayaan disambut dengan selamat tanpa insiden tidak diingini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata langkah itu bertujuan memastikan setiap peniaga beroperasi dengan penuh tanggungjawab dan keselamatan komuniti setempat diutamakan.
“Garis panduan ini menekankan jarak keselamatan yang sesuai antara gerai serta menilai semula lokasi supaya tidak terlalu hampir dengan struktur kekal atau kawasan kediaman,” katanya dalam hantaran di Facebook rasmi malam ini.
Beliau berkata setiap gerai berlesen perlu dilengkapi alat pemadam api yang berfungsi bagi membolehkan tindakan segera sekiranya berlaku kebakaran.
“Keselamatan dan kemeriahan harus seiring. Dengan memperhalusi garis panduan ini, kami komited memperkukuh keselamatan awam supaya rakyat Malaysia dapat menikmati suasana musim perayaan secara selamat,” katanya.
Insiden kebakaran gerai jualan bunga api dilaporkan berlaku di beberapa lokasi. Awal pagi Ahad, sebuah gerai pelbagai jenis mercun di Taman Pekaka, George Town, Pulau Pinang, musnah, mengakibatkan kerosakan sebuah motosikal dan tiga unit penyaman udara rumah berhampiran.
Malam ini, kebakaran serupa berlaku di Majidee Corner 1C, Jalan Bunga Ros, Johor Bahru, yang memusnahkan sebuah gerai mercun, sebuah kereta Proton Gen-2, dan sebuah trak makanan.
-- BERNAMA
