Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa susulan sentimen risiko global bertambah baik selepas Presiden AS Donald Trump memberi petunjuk bahawa konflik Asia Barat mereda.
Pada jam 8.01 pagi, ringgit mengukuh kepada 3.9200/9400 berbanding dolar AS daripada .3.9330/9415 ketika ditutup pada Khamis lepas.
Pasaran di Malaysia akan ditutup pada 20 Mac (Jumaat) dan 23 Mac (Isnin) sempena Hari Raya Aidilfitri.
Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata susulan langkah Trump itu, harga minyak mentah susut hampir 10 peratus, sekali gus mengurangkan tekanan kewangan ke atas pengimport minyak termasuk Malaysia, bagaimanapun, langkah tersebut masih terasa seperti pelepasan premium risiko berbanding peralihan keyakinan sepenuhnya, tambah beliau.
“Jika pasaran benar-benar percaya pada penurunan yang berkekalan, kita akan melihat peningkatan lebih kukuh dan lebih mampan merentasi aset risiko dan penjualan dolar yang lebih mendalam. Sebaliknya, reaksi itu mendadak tetapi tidak lengkap, menunjukkan pelabur mengurangkan kedudukan defensif dolar AS berbanding keluar sepenuhnya daripadanya,” katanya kepada Bernama.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) merosot sebanyak 0.7 peratus kepada 98.95 berikutan lanjutan tarikh akhir serangan ke atas loji janakuasa Iran selama lima hari oleh Trump sebagai tindak balas kepada penutupan Selat Hormuz.
"Hasilnya, ia adalah mod risiko dengan indeks ekuiti penanda aras seperti S&P 500 dan Nasdaq meningkat lebih daripada satu peratus di sebalik penurunan 11 peratus dalam harga minyak mentah Brent kepada US$99.94 setong. Oleh itu, mata wang tempatan berkemungkinan akan respons secara positif terhadap berita sedemikian, walaupun situasi semasa perang di Iran yang melanda ekonomi global berkemungkinan akan memastikan sentimen pasaran sentiasa terkawal," katanya.
Ringgit kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama lain.
Unit tempatan susut berbanding yen Jepun kepada 2.4733/4863 daripada 2.4716/4771 ketika ditutup pada Khamis, menguncup berbanding pound Britain kepada 5.2626/2895 daripada 5.2246/2359 dan berkurangan berbanding euro kepada 4.5499/5732 daripada 4.5139/5237 sebelumnya.
Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.
Unit domestik naik berbanding rupiah Indonesia kepada 230.6/231.9 daripada 231.4/232.0 pada penutupan Khamis dan menokok berbanding peso FIlipina kepada 6.50/6.54 daripada 6.54/6.56 sebelum itu.
Bagaimanapun, ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0735/0897 daripada 3.0671/0740 dan berkurangan berbanding baht Thailand kepada 12.0868/1556 daripada 11.9872/12.0204 sebelum itu.
-- BERNAMA
