DUNIA

ASAS INTEGRASI PERDAGANGAN ASIA TERUS KUKUH - LAPORAN

24/03/2026 06:24 PM

BOAO, Hainan (China), 24 Mac (Bernama-Xinhua) -- Asas integrasi perdagangan Asia terus diperkukuh, menurut laporan yang dikeluarkan oleh Forum Boao untuk Asia pada Selasa, lapor Xinhua.

Kebergantungan perdagangan intra-serantau meningkat daripada 56.3 peratus pada 2023 kepada 57.2 peratus pada 2024, memandangkan ekonomi utama di seluruh rantau ini semakin mengorientasikan hubungan perdagangan sesama mereka, kata laporan bertajuk "Laporan Tahunan Tinjauan Ekonomi Asia dan Kemajuan Integrasi 2026."

Perdagangan dua hala dalam kalangan ekonomi utama Asia-Pasifik secara amnya menunjukkan momentum yang semakin meningkat, dengan perdagangan intra-ASEAN kembali pulih manakala aliran dua hala antara ASEAN dan China menerajui pemulihan berkenaan, menurut laporan itu.

Eksport China ke negara ekonomi pesat membangun berkembang lebih pantas berbanding eksport ke Jepun dan Korea Selatan, sekali gus memperkukuh peranannya sebagai hab serantau yang disokong oleh skala pasaran dan bekalan barangan perantaraan yang teguh.

Hubungan China dengan rakan kongsi ini berkembang melampaui dinamik "rakan dagang" tradisional ke arah "komuniti dengan masa depan bersama", yang dicirikan oleh rantaian perindustrian dan nilai yang semakin berkait rapat, menurut laporan itu lagi.

Didorong oleh peningkatan pelaburan dalam infrastruktur digital, dividen permintaan pasaran Asia yang luas, serta integrasi ekonomi serantau yang semakin mendalam, rantau ini secara beransur-ansur berubah daripada sekadar peserta dalam perdagangan perkhidmatan global kepada satu daripada enjin pertumbuhan utamanya.

--BERNAMA-XINHUA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan