Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) merancang untuk memperluas pelaburannya ke pasaran luar negara secara berperingkat sebagai sebahagian usaha meningkatkan pulangan portfolio, dengan penempatan awal dijangka bermula seawal tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohammad Ashraf Md Radzi berkata LTAT menyasarkan sehingga 20 peratus daripada keseluruhan portfolionya diperuntukkan kepada pelaburan luar negara di bawah strategi peruntukan aset, namun langkah awal dilaksanakan menerusi skala pelaburan yang kecil.
"Sebarang pelaburan di luar negara akan dinilai dengan teliti, terutamanya dalam persekitaran ketidaktentuan geopolitik semasa yang boleh menjejaskan asas pasaran global.
"Kita sememangnya mengenal pasti beberapa pasaran asing yang menawarkan pulangan lebih baik. Tetapi memandangkan senario semasa memerlukan pendekatan berhemah kerana ketidaktentuan ini akan mengubah asas pasaran," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata sektor teknologi antara segmen yang sedang dipertimbangkan dalam strategi peluasan pelaburan luar negara LTAT.
Dalam pada itu, LTAT berharap dapat memulakan proses itu selepas memperoleh kelulusan daripada pihak berkuasa berkaitan, termasuk Bank Negara Malaysia dan Kementerian Kewangan Malaysia.
“Kami akan meneruskan perbincangan dengan pengawal selia sambil memantau keadaan pasaran,” katanya.
Mengulas pelaburan domestik, beliau berkata ia kekal relevan, namun pulangan dalam pasaran tempatan, dengan penanda aras sekitar 6.6 peratus memberi cabaran kepada LTAT untuk mencapai sasaran dividen minimum lima peratus.
Menurutnya, LTAT mengekalkan struktur kos yang ketat dengan perbelanjaan dihadkan sekitar satu peratus daripada aset di bawah pengurusan (AUM), sekali gus menetapkan sasaran pulangan pelaburan (ROI) campuran sekitar enam peratus.
LTAT juga terbuka untuk meneroka peluang dalam segmen berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi, sekiranya menawarkan pulangan menarik dengan risiko yang terkawal.
Pada masa yang sama, beliau berkata LTAT terus memantau risiko pasaran global, termasuk potensi pencetus krisis kewangan dengan rangka kerja pengurusan risiko yang kukuh bagi menghadapi ketidaktentuan pasaran serta memastikan kemampanan pembayaran dividen kepada pencarum melalui pengukuhan rizab.
-- BERNAMA
