KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) menetapkan tahun 2026 sebagai tahun “Misi Nasional” bagi memartabatkan agenda pemindahan organ di negara ini melalui kempen "Warisku, Hormati Ikrarku".
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata misi berkenaan bertujuan memberi kesedaran kepada ahli keluarga agar menghormati hasrat terakhir penderma memandangkan sokongan waris merupakan faktor kritikal dalam menjayakan proses transplan.
Beliau berkata walaupun lebih 400,000 rakyat Malaysia telah berikrar (penderma melalui aplikasi) menerusi MySejahtera, namun lebih 10,000 pesakit masih menanti “keajaiban” di senarai menunggu pendermaan organ kerana waris penderma tidak menjiwai hasrat murni penderma tersebut.
"Saya sangat sedar keperluan untuk ikrar digital yang murni ini dimaklumkan lebih awal kepada keluarga masing-masing," katanya menerusi hantaran X malam ini.
Terdahulu, Dzulkefly menzahirkan rasa hiba dan kagum atas pengorbanan seorang penderma, Allahyarham Muhammad Zahran Muhammad Zuraidi, 21, yang meninggal dunia di Hospital Selayang, Selangor pagi tadi.
Beliau berkata walaupun sudah tiada, Allahyarham telah meninggalkan "sinar hayat" kepada insan lain melalui pendermaan organ merangkumi hati, buah pinggang, kornea dan jantung.
"Saya amat terharu dengan kecekalan ibu arwah. Beliau adalah simbol sebenar kepada kempen 'Warisku, Hormati Ikrarku' kerana pada saat hiba menyelubungi hati, beliau tetap memilih untuk memuliakan hasrat terakhir anaknya," katanya.
Dzulkefly turut mendoakan agar roh Muhammad Zahran dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.
Sebelum ini, media melaporkan pemindahan organ akan dirangka semula sebagai agenda kebangsaan selaras usaha KKM menstruktur semula Pusat Transplan Nasional (NTC) sebagai badan pusat untuk memacu dasar, pentadbiran dan penyelarasan seluruh negara.
Dzulkefly dilaporkan berkata aktiviti pemindahan organ di Malaysia masih rendah berbanding keperluan negara meskipun mempunyai kepakaran klinikal yang kukuh, infrastruktur awam-swasta, selain beban kegagalan organ tahap akhir yang semakin meningkat susulan penyakit tidak berjangkit serta jurang sistemik dalam pencegahan dan penjagaan awal.
-- BERNAMA
