AM

BEKALAN SEMASA PETROL, DIESEL DAN LPG DI MALAYSIA STABIL - ARMIZAN

24/03/2026 04:50 PM

KOTA KINABALU, 24 Mac (Bernama) -- Bekalan semasa petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) dalam negara stabil dan setakat ini tidak berlaku kekurangan seperti didakwa, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata situasi bekalan semasa bahan api di Malaysia adalah lebih stabil berbanding beberapa negara lain termasuk negara serantau.

“Perkara yang timbul dan diuar-uarkan adalah isu terpencil berhubung logistik yang menyebabkan kelewatan penghantaran dalam tempoh beberapa jam di beberapa lokasi, khususnya dalam tempoh musim perayaan yang menyaksikan peningkatan permintaan. 

“Perkara ini telah ditangani dan pemantauan berterusan dilaksanakan bagi memastikan penghantaran bekalan berjalan lancar,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Amrizan berkata dakwaan bekalan bahan api tidak mencukupi di beberapa stesen minyak di Sabah baru-baru ini, yang dikaitkan dengan senario berlaku di negara jiran yang mengalami isu gangguan bekalan, telah dijelaskan kepada Hajiji dalam kunjungan berkenaan.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai tidak melakukan pembelian panik kerana bekalan semasa adalah terjamin.

Armizan turut mengingatkan sebarang penjualan dan pengisian bahan api selain daripada tangki kenderaan tanpa permit khas adalah satu kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 khususnya peruntukan-peruntukan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 serta Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak akan berkompromi dan akan bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan. Pengusaha stesen minyak juga diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan dan melaporkan sebarang pelanggaran kepada pihak berkuasa,” katanya.

Armizan berkata pada pertemuan dengan Hajiji, beliau telah memberikan taklimat hasil keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan Antara Agensi Penguatkuasaan (JTPAP) yang diaktifkan sebagai langkah memperkukuh agenda penguatkuasaan untuk membanteras aktiviti penyeludupan dan penyelewengan bahan api khususnya di kawasan sempadan termasuk di Sabah. 

Beliau berkata risiko ketirisan semakin meningkat berikutan konflik Asia Barat dan jurang harga yang tinggi antara harga bahan api bersubsidi di dalam negara dengan harga pasaran dan harga runcit di negara jiran.

Sementara itu, Hajiji dalam satu kenyataan menegaskan kepentingan bekalan bahan api yang konsisten bagi menyokong aktiviti ekonomi negeri termasuk sektor logistik, perikanan dan pertanian yang banyak bergantung kepada penggunaan diesel.

Hajiji turut menerima kunjungan hormat Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Tan Sri Mohd Salim Fateh Din yang memberi taklimat mengenai kemajuan pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di Sabah serta inisiatif Bandar Pintar Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK Smart City).

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan