JOHOR BAHRU, 24 Mac (Bernama) -- Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) menahan 14 warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen, semalam.
AKPS dalam kenyataan memaklumkan, tangkapan dilakukan hasil pemeriksaan terhadap individu yang dikesan memasuki kawasan BSI tanpa kebenaran serta gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah.
Daripada jumlah itu, 11 daripada mereka ialah warga Indonesia, dua rakyat Singapura dan seorang warga Mesir.
"Turut ditahan tiga warga tempatan yang dipercayai bertindak sebagai pemandu kepada pendatang tanpa izin berkenaan. Empat kenderaan turut disita di bawah Seksyen 49A Akta Imigresen 1959/63 dalam operasi sama," menurut AKPS.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 55E akta berkenaan.
-- BERNAMA
