DUNIA

RINGGIT DITUTUP RENDAH BERBANDING DOLAR AS SUSULAN SITUASI GEOPOLITIK

24/03/2026 07:17 PM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Ringgit susut nilai berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir urus niaga Selasa ketika ketidaktentuan membabitkan perang AS-Israel dan Iran terus memberi tekanan terhadap sentimen pasaran.

Pada 6 petang, ringgit susut ke paras 3.9530/9585 berbanding 3.9330/9415 pada Khamis lepas.

Pasaran di Malaysia ditutup pada 20 Mac dan 23 Mac lepas bersempena cuti Aidilfitri.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pasaran juga mencari petunjuk bagi krisis berkenaan mereda yang setakat ini hanya kekal sebagai satu harapan.

Presiden AS Donald Trump telah membuat kenyataan mendakwa “kemajuan besar” dalam rundingan dengan Iran biarpun pasaran kurang yakin ketika pegawai Iran sebaliknya menafikan perkembangan sedemikian.

“Difahamkan Pakistan sedang berusaha untuk menjadi perantara dalam rundingan antara AS dan Iran. Bagaimanapun, belum dapat dipastikan sama ada usaha itu boleh membuahkan impak yang diharapkan.

“Gandingan dolar AS-ringgit kini berada sekitar RM3.9575, susut sebanyak 0.51 peratus. Oleh itu, sektor kewangan dijangka kekal bertahan dalam masa terdekat,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, ringgit juga diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Ini turun berbanding yen Jepun kepada 2.4916/4954 daripada 2.4716/4771, rendah berbanding pound Britain kepada 5.2982/3056 daripada 5.2246/2359 dan susut berbanding euro kepada 4.5835/5899 daripada 4.5139/5237 sebelumnya.

Selain itu, ringgit juga rendah berbanding mata wang ASEAN. 

Ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0909/0955 daripada 3.0671/0740, rendah berbanding baht Thailand kepada 12.1373/1613 daripada 11.9872/12.0204, turun berbanding rupiah Indonesia kepada 233.9/234.3 daripada 231.4/232.0 dan susut berbanding peso Filipina kepada 6.59/6.61 daripada 6.54/6.56 sebelumnya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan