AM

RPM 2026-2035 BERI TUMPUAN TANGANI BEBAN TUGAS GURU - FADHLINA

24/03/2026 10:25 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) terus komited melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menangani beban tugas guru seperti digariskan dalam Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata RPM 2026-2035 menetapkan keutamaan bagi memastikan guru dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengajaran dan pembelajaran (PdP).

“Dasar 80:20 menggariskan 80 peratus masa guru mata pelajaran diperuntukkan untuk aktiviti berkaitan dengan PdP, manakala 20 peratus lagi diperuntukkan untuk tugasan bukan PdP.

“Kesejahteraan guru dipengaruhi pelbagai faktor termasuk beban tugas di luar skop tugas utama, persekitaran kerja, emosi serta peluang pembangunan profesional,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Justeru, sejak 2023 hingga kini pelbagai inisiatif dilaksanakan untuk menangani beban tugas guru termasuk melantik 20,997 sukarelawan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), melaksanakan inisiatif pembantu guru Malaysia Short-Term Employment Programme (MySTEP) serta melantik pembantu warden asrama sepenuh masa.

Beliau berkata selain itu, KPM turut memansuhkan fungsi Sistem Pengurusan Latihan Kementerian Pendidikan Malaysia (SPLKPM) dan mengembalikan fungsi Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM).

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan