AM

JANGAN AMBIL RINGAN TANDA AWAL STROK HABA - PAKAR 

26/03/2026 10:29 AM

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada dengan tanda-tanda awal strok haba terutama kanak-kanak, warga emas dan pesakit kronik yang mudah terdedah kepada komplikasi itu. 

Pakar Perubatan Keluarga Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Dr Megat Mohamad Amirul Amzar Megat Hashim berkata strok haba ialah satu spektrum yang berlaku disebabkan kepanasan melampau akibat cuaca terlalu panas yang didahului kelesuan haba. 

Beliau berkata apabila cuaca terlalu panas, badan akan cuba untuk menurunkan suhu dalam badan kerana ia hanya boleh berfungsi secara optimum dalam julat suhu lebih kurang 37 darjah Celsius. 

“Lebih daripada itu, protein, enzim dan hormon dalam badan tidak berfungsi secara optimum dan akan menyebabkan organ boleh berisiko untuk gagal, seterusnya mungkin boleh membawa maut. 

“Apabila suhu itu naik, badan kita akan mengalami tanda-tanda yang kita panggil kelesuan haba… Jika kita biar badan lama-lama, ia tak boleh nak menampung suhu optimum, ia akan menjadi strok haba,” katanya ketika ditemu bual dalam Ruang Bicara bertajuk Strok Haba: Risiko Nyawa Dalam Diam terbitan Bernama TV malam tadi. 

Dr Megat Mohamad Amirul berkata gejala dan tanda awal strok haba yang perlu diawasi adalah suhu badan melebihi 40 darjah Celcius, fungsi otak terjejas seperti bercelaru atau meracau, pengsan dan sawan.

Beliau berkata antara langkah yang perlu diambil sekiranya tanda-tanda berkenaan kelihatan ialah longgarkan atau tanggalkan pakaian, mandi atau membasahkan anggota badan seperti kepala, leher dan ketiak, tempatkan diri di ruangan yang sejuk dan minum minuman sejuk dengan segera.

"Jika pertolongan pertama ini tidak dilakukan, maka risiko terjadinya strok haba sangat tinggi… individu akan menjadi semakin lesu dan sedikit demi sedikit organ penting dalam tubuh akan terjejas," katanya.

Dr Megat Mohamad Amirul menjelaskan  jika terjadi strok haba, individu tersebut tidak akan mengeluarkan peluh lagi kerana telah mengalami dehidrasi yang sangat teruk.

"Air kencing pada mereka yang mengalami kelesuan haba dan strok haba juga berkurang atau hampir tiada kerana dehidrasi teruk akibat tiada pertolongan pertama diberikan dan ia boleh menyebabkan kerosakan organ-organ dalaman dan seterusnya boleh menyebabkan maut jika tidak diberi rawatan lanjut. 

“Jika keadaan begitu, maka mereka perlu segera dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan,” katanya. 

Menurut beliau, kanak-kanak dan warga emas yang mempunyai penyakit kronik berisiko mendapat strok haba jika terdedah dengan cuaca panas terlalu lama kerana kadar ketahanan badan mereka lebih lemah daripada badan orang dewasa yang sihat. 

Dr Megat Mohamad Amirul berkata gaya hidup serta pemakanan seharian juga sangat penting bagi menjaga hidrasi badan sepanjang cuaca panas. 

“Elakkan berada di bawah panas terik terlalu lama dan kurangkan aktiviti luar rumah iaitu antara 11 pagi hingga 4 petang kerana ketika inilah cahaya matahari sangat terik dan keadaan membahang lebih mudah menyebabkan kelesuan haba. 

“Selain itu, dari segi pemakanan, elakkan daripada mengambil terlalu banyak kafien dan alkohol serta makanan masin kerana ia boleh mempercepat pengurangan kadar hidrasi badan,” katanya.

Beliau berkata amalan minum air kosong sebanyak lapan gelas sehari mampu mengekalkan hidrasi dalam badan.

-- BERNAMA 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan