EKONOMI

SUBSIDI PETROL, DIESEL DI BAWAH BUDI95 DAN BUDI DIESEL CECAH RM4 BILION SEBULAN - MOF

26/03/2026 10:55 PM

PUTRAJAYA, 26 Mac (Bernama) -- Kerajaan menanggung subsidi petrol dan diesel yang dianggarkan mencecah RM4 bilion sebulan di bawah pelaksanaan program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dan BUDI Diesel, susulan peningkatan harga minyak mentah global.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan konflik berlarutan di Asia Barat menekankan pasaran tenaga global, dengan harga minyak mentah kini melepasi paras AS$100 setong, sekali gus meningkatkan beban subsidi negara secara mendadak. 

Subsidi bagi RON95 dan Diesel bagi Januari 2026 adalah sekitar RM0.7 bilion.

“Dengan keputusan Kerajaan MADANI mengekalkan harga BUDI95 pada RM1.99 seliter untuk rakyat dan harga diesel pada RM2.15 seliter untuk kumpulan sasar, beban subsidi terus meningkat. 

“Berdasarkan harga pasaran dua minggu lalu, ketika harga minyak mentah Brent sekitar US$90 setong, subsidi petrol dan diesel dianggarkan sekitar RM3 bilion sebulan.

“Kini, dengan harga minyak mentah mencecah US$100 setong, beban subsidi petrol dan diesel dianggarkan mencecah RM4 bilion sebulan,” menurut kenyataan MOF.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelarasan kelayakan BUDI95 daripada 300 liter sebulan kepada 200 liter sebulan, berkuat kuasa 1 April 2026, susulan ketidaktentuan bekalan akibat konflik di Asia Barat.

Bagaimanapun, harga RON95 bersubsidi kekal pada RM1.99 seliter.

MOF menegaskan langkah ini bersifat sementara dan bersasar, bagi memastikan bekalan bahan api negara terjamin tanpa menjejaskan majoriti pengguna.

Hampir 90 peratus rakyat yang layak menggunakan kurang daripada 200 liter sebulan, dengan purata penggunaan sekitar 100 liter sebulan. Had siling tambahan untuk operator e-hailing pula kekal pada 800 liter sebulan.

Kerajaan juga akan memperkukuh penguatkuasaan bagi membanteras penyalahgunaan dan ketirisan subsidi, sambil menggalakkan penggunaan bahan api secara lebih berhemah.

MOF menegaskan, kelayakan BUDI95 akan disekat sekiranya berlaku penyelewengan.

“Kerajaan terus memantau perkembangan global dan bersedia mengambil langkah tambahan bagi memastikan bekalan tenaga negara stabil serta mencukupi untuk rakyat,” menurut MOF.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan