KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Pengekalan had siling Program Budi MADANI RON95 (BUDI95) hingga 800 liter sebulan bagi pemandu e-panggilan atau e-hailing, dan pekerja gig dilihat sebagai langkah tepat dalam menstabilkan kos operasi golongan itu.
Ketua Aktivis Gabungan e-Hailing Malaysia (GEM) Masrizal Mahidin berkata langkah berkenaan juga berpotensi merangsang permintaan terhadap perkhidmatan e-panggilan susulan penyelarasan sementara kelayakan BUDI95 bermula bulan depan.
“Penyelarasan sementara kuota ini dijangka mendorong lebih ramai pengguna, khususnya di kawasan bandar, beralih kepada e-panggilan berbanding menggunakan kenderaan sendiri, sekali gus membuka peluang peningkatan pendapatan kepada pemandu,” katanya kepada Bernama.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan kerajaan akan melaksanakan penyelarasan kelayakan BUDI95 daripada 300 liter sebulan kepada 200 liter sebulan bermula 1 April 2026 susulan konflik di Asia Barat.
Bagaimanapun, untuk meringankan beban rakyat, Perdana Menteri berkata inisiatif BUDI95 dikekalkan pada harga RM1.99 seliter.
Masrizal berkata pengekalan kuota untuk e-panggilan dan pekerja gig memberikan kelegaan segera kepada para pemandu, namun menekankan keperluan terhadap penyelesaian jangka panjang dalam mendepani ketidaktentuan harga minyak global.
Sehubungan dengan itu, beliau menyarankan pendekatan lebih komprehensif termasuk menyokong peralihan berperingkat sektor e-panggilan kepada kenderaan elektrik (EV) bagi mengurangkan kebergantungan kepada petrol.
“Kerajaan dan pemain industri perlu menyediakan insentif serta infrastruktur mencukupi, di samping memperkukuh perlindungan sosial, insurans, dana kecemasan dan latihan peningkatan kemahiran bagi memastikan daya tahan pekerja gig dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Dr T. Saravanan berkata keputusan mengekalkan subsidi 800 liter mencerminkan kepekaan kerajaan terhadap kumpulan yang bergantung sepenuhnya kepada bahan api sebagai sumber pendapatan.
Beliau berkata langkah itu juga penting bagi memastikan kestabilan pasaran dan mengelakkan sebarang aktiviti tidak bertanggungjawab yang boleh menjejaskan bekalan.
“Pelaksanaan had ini bertujuan memastikan bekalan bahan api kekal mencukupi dan dapat diakses semua pengguna, selain mengelakkan pembelian berlebihan atau aktiviti tidak bertanggungjawab yang boleh menjejaskan kestabilan pasaran,” katanya.
Beliau juga berharap pengguna bersabar dan memahami rasional di sebalik penyelarasan sementara kuota BUDI95 yang disifatkannya perlu bagi memastikan keselamatan tenaga, kestabilan bekalan serta pengurusan bahan api lebih berhemat.
-- BERNAMA
