EKONOMI

PROGRAM AGROBANK-MAINJ PERTINGKAT KECEKAPAN USAHAWAN KECIL

28/03/2026 01:55 PM

Oleh Nur Faradilla Mohamad

MERSING, 28 Mac (Bernama) -- Daripada hampir dua jam di dapur untuk menyiapkan produk jualan, seorang usahawan kecil di sini kini boleh menarik nafas lega apabila dapat menjimatkan proses memasak dengan peralatan baharu yang lebih efisien.

Rutin itu mula berubah selepas beliau menerima pembiayaan sebanyak RM5,000 di bawah program kerjasama Agrobank dengan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) bagi program pembangunan usahawan asnaf.

Hampir sedekad mengusahakan perniagaan makanan, pasangan Nordiana Mesnon, 36, dan suaminya Aidil Nor Abdul Majid, 45, mengendalikan perniagaan mereka tanpa pembantu sejak 2021.

Sehubungan itu, sokongan kewangan berkenaan membantu melancarkan lagi operasi perniagaan mereka.

Nordiana berkata pembiayaan itu digunakan untuk membeli dan menaik taraf peralatan seperti dapur tiga tungku, sinki dan peralatan gril.

"Sebelum ini saya hanya menggunakan dapur biasa tetapi sekarang dengan adanya dapur tiga tungku, kita boleh memasak serentak. Satu jam boleh siap masak, kerja juga menjadi lebih cepat," katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Ibu kepada empat anak itu berkata perubahan berkenaan turut meningkatkan keupayaan menyediakan menu dalam kuantiti lebih banyak, termasuk roti canai yang kini boleh dihasilkan dua kali ganda berbanding sebelum ini.

“Kalau dulu lima keping sekali, sekarang boleh sehingga 10 keping,” katanya.

Beliau berkata peluang menyertai program itu diperoleh selepas menghadiri seminar keusahawanan di Johor Bahru yang menghimpunkan beberapa institusi kewangan, sebelum permohonannya diluluskan pada Disember tahun lepas.

Menurutnya, bayaran balik secara bulanan tanpa caj tambahan juga memberikan kelegaan kerana tidak membebankan aliran tunai perniagaan kecil sepertinya, selain cabaran kehadiran pelanggan yang tidak menentu.

“Memang ada masanya pelanggan kurang, tetapi saya teruskan juga kerana ini sumber rezeki kami,” katanya sambil berharap agar perniagaan itu dapat dikembangkan lagi sekali gus menarik kehadiran lebih ramai pelanggan.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata program Pembiayaan Usahawan Mikro menawarkan pembiayaan tanpa caj keuntungan sehingga RM10,000 kepada golongan asnaf bagi tempoh sehingga lima tahun.

Beliau berkata skim khas di bawah MAINJ itu disyorkan agensi berkaitan sebagai sokongan modal untuk memulakan atau mengembangkan perniagaan kecil.

Menurutnya program itu bertujuan membantu golongan berkenaan menjana pendapatan secara mapan melalui akses pembiayaan tanpa caj keuntungan serta sokongan pembangunan kapasiti perniagaan.

"Peserta turut menerima latihan serta khidmat nasihat pengurusan kewangan melalui Pusat Kecemerlangan Agrobank (ACE) bagi meningkatkan kemahiran pengurusan dan daya saing perniagaan," katanya.

Memasuki tahun ini, Tengku Ahmad Badli Shah berkata bank itu memfokuskan kepada penyediaan pembiayaan mudah diakses, pembangunan kapasiti usahawan serta penggalakan pendigitalan bagi memastikan perusahaan kecil dan mikro berkembang secara mampan.

"Kita berharap agar program pembangunan komuniti itu dapat meningkatkan sosioekonomi peserta serta diperluaskan kepada lebih ramai usahawan pada masa hadapan," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan