AM

UNIVERSITI MALAYA DITAULIAH SEBAGAI PUSAT PENDIDIKAN PERGIGIAN OLEH RCS ENGLAND

29/03/2026 01:04 PM

KUALA LUMPUR, March 29 (Bernama) -- Universiti Malaya (UM) menempa kejayaan bersejarah dalam bidang pendidikan pergigian global apabila menerima akreditasi sebagai Pusat Pendidikan Pergigian oleh Fakulti Pembedahan Pergigian Royal College of Surgeons of England (RCS England).

UM dalam satu kenyataan di sini, hari ini, berkata akreditasi itu diterima semasa majlis Diplomate Ceremony, yang diadakan di London, United Kingdom, pada 25 Mac, yang dihadiri oleh kepimpinan kanan kedua-dua institusi tersebut.

Semasa majlis berkenaan, Dekan Fakulti Pembedahan Pergigian RCS England, Dr Charlotte Eckhardt, menyampaikan anugerah tersebut kepada Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UM, Profesor Dr Zamri Radzi, yang mewakili Naib Canselor UM dan kepada Dekan Fakulti Pergigian UM, Profesor Dr Firdaus Hariri.

"Pengiktirafan ini membuktikan bahawa program kedoktoran pakar pergigian UM memenuhi piawaian akademik dan klinikal Fakulti Pembedahan Pergigian yang ketat. Ia merupakan akreditasi pertama seumpamanya yang dianugerahkan oleh FDS di dunia," demikian maklum kenyataan itu.

Menurut UM pencapaian itu mencerminkan hubungan pendidikan yang utuh antara Malaysia dan United Kingdom, di samping memperkukuh kedudukan universiti tersebut sebagai institusi terkemuka dalam pendidikan pergigian di rantau ini.

Akreditasi program pascasiswazah RCS England dianugerahkan kepada institusi pengajian tinggi yang mempamerkan penyediaan pendidikan berkaitan pembedahan yang cemerlang, yang menyediakan ruang kerjasama bagi memastikan standard tinggi dalam pendidikan dan latihan pembedahan dan pergigian dikekalkan secara konsisten.

Akreditasi itu merangkumi lapan program kedoktoran termasuk Doktor dalam bidang Ortodontik; Doktor dalam bidang Pergigian Pediatrik; Doktor dalam bidang Pergigian Penjagaan Khas; Doktor dalam bidang Prostodontik; Doktor dalam bidang Periodontologi; Doktor dalam bidang Pergigian Restoratif; Doktor dalam bidang Patologi Mulut dan Maksilofasial serta Perubatan Mulut; dan Doktor dalam bidang Kesihatan Awam Pergigian.

Pada majlis itu, Dr. Eckhardt turut menganugerahkan fellowship dalam pembedahan pergigian kepada Timbalan Dekan (Pascasiswazah) UM, Prof Wan Nurazreena Wan Hassan, sebagai pengiktirafan atas peranan beliau dalam memulakan akreditasi dan kepimpinan dalam pendidikan pergigian pascasiswazah, serta Prof Siti Adibah Othman atas sumbangan beliau kepada fakulti dan pembangunan akademik.

Dalam kenyataan yang sama, Dr Zamri menyifatkan pengiktirafan daripada RCS England itu sebagai satu penghormatan besar terhadap UM yang mencerminkan komitmen teguh universiti itu terhadap kecemerlangan dalam pendidikan, penyelidikan dan latihan klinikal selaras dengan piawaian antarabangsa.

Sementara itu, Dr Firdaus berkata akreditasi tersebut membuktikan komitmen UM terhadap pendidikan pergigian berkualiti tinggi melalui piawaian akademik yang ketat, kecemerlangan penyelidikan dan latihan klinikal menumpukan kepada pesakit yang sejajar dengan penanda aras antarabangsa.

“Kami berharap dapat memperkukuh kerjasama kami dengan RCS England dalam memajukan kerjasama akademik, meningkatkan latihan klinikal, memacu inovasi penyelidikan dan melahirkan pakar pergigian yang kompeten di peringkat global dan beretika untuk menambah baik penjagaan kesihatan mulut di peringkat serantau dan antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Dr Eckhardt berkata RCS England Fakulti Pergigian UM memenuhi piawaian ketat yang diperlukan untuk akreditasi tersebut, sambil menambah pencapaian itu mencerminkan kekuatan program dan komitmen terhadap kecemerlangan dalam pendidikan dan latihan pergigian.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan