AM

DARIPADA PESALAH KEPADA PEMBIMBING, EDDIE BANTU BENTUK DISIPLIN ODS

29/03/2026 02:03 PM

KLUANG, 29 Mac (Bernama) -- Pernah terjerumus dalam penyalahgunaan dadah sehingga mendorongnya melakukan pelbagai jenayah seperti mencuri dan meragut, seorang lelaki kini bangkit mengubah kehidupan dan memainkan peranan membentuk disiplin orang lain.

Individu yang hanya mahu dikenali sebagai Eddie, 37, berkata kehidupannya suatu ketika dahulu dipenuhi dengan pelanggaran undang-undang demi mendapat wang untuk membeli bahan terlarang, namun segalanya berubah selepas melalui proses pemulihan di bawah pengawasan Jabatan Penjara Malaysia.

Selepas beberapa tahun menjalani hukuman di Penjara Kluang sebelum ditempatkan di Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Kluang, dia bukan sahaja berjaya meninggalkan masa silam, tetapi juga diberi kepercayaan membantu petugas pusat itu membimbing Orang Diselia (ODS) agar lebih berdisiplin.

“Saya diberi peranan sebagai ‘Penghulu’ untuk ODS di sini dengan antara tugasan yang diamanahkan kepada saya ialah memastikan mereka yang ditempatkan di PRP ini mematuhi undang-undang serta peraturan sedia ada.

“Perkara berkenaan bukan sahaja dapat membentuk saya supaya tidak melanggar undang-undang, tetapi juga membuatkan saya menyesal apabila sebelum ini melakukan perkara yang tidak berfaedah termasuklah melakukan jenayah,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Eddie berkata disiplin menjadi teras utama di PRP Kluang dengan setiap ODS perlu mematuhi jadual harian yang ditetapkan selain melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti kemahiran sebagai persediaan sebelum dibebaskan.

“Pelbagai aktiviti serta ilmu baharu yang diperoleh di sini seperti dalam bidang pertanian, penternakan, landskap, perikanan, penyelenggaraan barangan elektirk dan aktiviti memasak … setiap ODS termasuk saya perlulah berdisplin mematuhi jadual yang telah ditetapkan,” katanya yang bakal dibebaskan 13 bulan lagi.

Bagi seorang lagi ODS yang dikenali sebagai Malik, 54, pengalaman lampau melakukan pecah amanah di syarikat tempatnya bekerja sembilan tahun lepas menjadi pengajaran besar dalam hidupnya.

Katanya, pematuhan kepada undang-undang kini menjadi pegangan penting dalam membentuk sikap lebih amanah, bertanggungjawab dan berdisiplin, selari dengan proses pemulihan yang dilalui.

“Di sini, saya ditugaskan mengurus beberapa dokumen di pejabat pentadbiran, sekali gus tugas ini dapat mendidik saya supaya melakukan tugasan yang diberi dengan lebih beramanah dan bertanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pentadbir PRP Kluang Penolong Penguasa Penjara Syarifuddin Kasimin berkata program di pusat berkenaan dilaksanakan menerusi Program Reintegrasi Penghuni Industri (PRPI) sebagai pendedahan awal kepada ODS terhadap alam pekerjaan.

“Di PRP Kluang, menerusi aktiviti pentadbiran dan masakan, serta aktiviti pertanian, penternakan juga perikanan, ODS di sini dibimbing sendiri oleh staf kami dengan pengawasan selain turut melibatkan pelbagai pihak antaranya Jabatan Pertanian, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM),” katanya.

Beliau berkata pendekatan bersepadu itu bukan sahaja memberikan kemahiran praktikal, malah membantu membentuk jati diri ODS agar lebih bersedia kembali kepada masyarakat sebagai individu yang produktif dan berdisiplin.

Bagi Eddie, peluang kedua yang diperoleh bukan sekadar untuk menebus kesilapan lampau, tetapi turut menjadi titik tolak untuk membina kehidupan baharu yang lebih bermakna apabila kembali kepada pangkuan masyarakat kelak.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan