DUNIA

KEDUTAAN SARAN RAKYAT MALAYSIA DI QATAR PATUH GARIS PANDUAN KESELAMATAN SUSULAN PEMBUKAAN SEKOLAH

30/03/2026 12:06 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Rakyat Malaysia di Qatar dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi arahan dan garis panduan keselamatan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa Qatar susulan pembukaan semula sekolah di negara itu.

Kedutaan Besar Malaysia di Doha, Qatar dalam satu kenyataan memaklumkan pematuhan itu penting bagi memastikan keselamatan pelajar serta persekitaran pembelajaran yang selamat untuk semua.

“Dengan pembukaan semula sekolah, semua warga Malaysia di Qatar adalah disarankan untuk sentiasa mematuhi arahan serta garis panduan keselamatan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa Qatar,” menurut kenyataan yang dimuat naik di Facebook Kedutaan itu pada Ahad.

Kedutaan memaklumkan keadaan di Qatar ketika ini adalah tenang dan terkawal dengan kebanyakan aktiviti harian telah mula berjalan seperti biasa.

“Bagaimanapun, semua rakyat Malaysia di Qatar adalah dinasihatkan untuk terus berwaspada dan sentiasa peka dengan perkembangan sekeliling,” katanya.

Kementerian Pendidikan dan Pengajian Tinggi Qatar pada minggu lepas mengumumkan penyambungan semula kelas bersemuka secara berperingkat di semua institusi pendidikan di negara itu bermula 24 Mac, dengan kehadiran penuh secara bersemuka bagi semua pelajar di sekolah dan tadika disambung semula pada 29 Mac, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).

Pada 28 Feb, kementerian itu mengumumkan bahawa semua tadika, sekolah awam dan swasta, pusat pendidikan serta universiti di seluruh negara akan beralih kepada pembelajaran jarak jauh berkuat kuasa 1 Mac sebagai langkah berjaga-jaga sehingga dimaklumkan kelak.

Sementara itu, Kedutaan turut menasihatkan rakyat Malaysia di Qatar agar sentiasa menyemak jadual penerbangan terkini bagi merancang perjalanan memandangkan penerbangan komersial di negara itu masih tertakluk kepada beberapa perubahan. 

“Sila patuhi semua arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Qatar dan jangan rakam atau sebarkan maklumat berkaitan insiden keselamatan yang merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang Qatar,” menurut kenyataan itu.

Bagi rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan atau mempunyai maklumat mengenai rakyat Malaysia yang terkesan, Kedutaan boleh dihubungi melalui talian +974 3374 6733/ +974 4483 6463 atau melalui +603 8887 4570 (Bilik Gerakan Wisma Putra di Putrajaya) atau emel kepada mwdoha@kln.gov.my.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan