SHAH ALAM, 30 Mac (Bernama) -- Seorang lelaki warga emas cedera pada bahagian muka dan badan selepas diserang sekumpulan individu bersenjata di sebuah kedai makan di sekitar kawasan Kapar, Klang dekat sini awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP S. Vijaya Rao berkata dalam kejadian pada 6.09 pagi itu, lelaki berusia 69 tahun berkenaan sedang makan bersama rakannya sebelum didatangi sekumpulan lelaki.
Beliau berkata perselisihan faham bermula apabila rakan mangsa tidak menghiraukan kata-kata sekumpulan lelaki itu, yang seterusnya mengakibatkan seorang daripada suspek bertindak mengeluarkan pisau dan menghayunkannya ke arah mangsa.
“Sebelum beredar, kumpulan suspek itu turut mengeluarkan ugutan jenayah untuk menembak rakan mangsa dalam masa terdekat. Mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Vijaya berkata bertindak atas maklumat, pihaknya berjaya menahan seorang daripada suspek semalam dengan semakan terhadap individu berkenaan mendapati dia mempunyai lapan rekod jenayah lampau serta tiga rekod berkaitan dadah dan direman selama tiga hari bagi membantu siasatan.
Beliau berkata polis kini sedang giat mengesan baki dua lagi suspek yang masih bebas dan orang ramai yang mempunyai maklumat dimohon untuk tampil ke balai berdekatan atau boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Dayang Siti Aishah Awang Ramli di talian 010-582 5382.
Kes disiasat di bawah Seksyen 324 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
