KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Seorang peguam hari ini mencadangkan agar kes seorang penunggang motosikal yang maut selepas dirempuh pemandu dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah di Jalan Raya Barat, Klang semalam disiasat mengikut Seksyen 300(d) Kanun Keseksaan.
M.Partiben berkata peruntukan itu merujuk kepada kesalahan membunuh tanpa niat khusus, iaitu apabila seseorang melakukan perbuatan yang diketahui amat berbahaya dan berkemungkinan besar menyebabkan kematian.
“Walaupun tiada niat khusus untuk membunuh, tertuduh boleh disabitkan jika mempunyai pengetahuan bahawa tindakannya sangat berbahaya dan berisiko tinggi menyebabkan kematian,” menurutnya dalam kenyataan kepada Bernama.
Beliau berkata Seksyen 300(d) sering digunakan dalam kes membabitkan tindakan melulu seperti melepaskan tembakan secara rambang atau pemanduan berbahaya sehingga meragut nyawa, dan lazimnya dibaca bersama dengan Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Peguam itu berkata kes berkenaan, yang rakaman videonya turut tular di media sosial, kini disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda RM100,000.
Beliau berkata elemen utama Seksyen 300(d) termasuk pengetahuan bahawa perbuatan itu amat berbahaya dan risiko tinggi menyebabkan kematian walaupun tanpa niat khusus untuk membunuh.
Sehubungan dengan itu, Partiben turut mencadangkan beberapa langkah penambahbaikan bagi mengelakkan kejadian sama berulang termasuk peningkatan penalti, penggantungan lesen lebih lama, penggunaan teknologi pengujian lebih canggih dan pelaksanaan sistem demerit yang lebih tegas.
Terdahulu, Majistret Siti Zubaidah Mahat memerintahkan seorang lelaki berusia lingkungan 20-an yang dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan kes itu.
Semalam, Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Lim Jit Huey berkata insiden pada kira-kira 11.40 pagi itu mengakibatkan seorang penunggang motosikal berusia 30-an maut.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kereta Honda City dipandu suspek dalam keadaan laju dan berbahaya serta dipercayai memotong beberapa kenderaan sebelum memasuki laluan bertentangan.
“Perlanggaran itu menyebabkan mangsa tercampak ke atas sebuah Perodua Myvi sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
-- BERNAMA
