JENAYAH & MAHKAMAH

LELAKI MILIKI 31 REKOD JENAYAH DITAHAN POLIS SELEPAS DIKEJAR DI KLIA

31/03/2026 08:52 AM

PUTRAJAYA, 31 Mac (Bernama) -- Polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan yang mempunyai 31 rekod jenayah lampau selepas mengejar kereta Honda Civic dipandu lelaki terbabit di kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), petang semalam.

Ketua Polis Daerah KLIA ACP M Ravi berkata suspek berusia 30 tahun itu bertindak melanggar beberapa buah kenderaan awam untuk melarikan diri semasa dikejar kereta peronda polis (MPV) dalam kejadian 4.30 petang itu.

“Anggota MPV yang melakukan rondaan cegah jenayah di sekitar kawasan KLIA cuba menahan sebuah kenderaan jenis Honda Civic berwarna merah namun pemandu berkenaan enggan berhenti untuk pemeriksaan.

"Pemandu kenderaan tersebut telah cuba melarikan diri ke arah laluan terminal KLIA Aras 3 hingga melanggar lima buah kenderaan awam yang berada di laluan tersebut sebelum berjaya ditahan berdekatan dengan tempat kejadian," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ravi berkata hasil semakan mendapati lelaki itu mempunyai 31 rekod jenayah lampau serta satu rekod kesalahan dadah yang masih dikehendaki polis.

Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 186 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta melakukan khianat, selain Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesalahan trafik berkaitan.

Menurutnya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Sepang hari ini bagi tujuan permohonan reman.

Semalam, tular di media sosial satu video memaparkan insiden kereta polis mengejar sebuah kereta di KLIA yang mengejutkan orang awam.

-- BERNAMA 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan