AM

TUNKU AZIZAH BERANGKAT KE MAJLIS SANTUNAN KASIH UIAM

31/03/2026 08:57 PM

KUANTAN, 31 Mac (Bernama) -- Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan berangkat ke Majlis Santunan Kasih di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini.

Mengiringi Tunku Azizah yang juga Ketua Perlembagaan UIAM ialah Tengku Panglima Raja Brigadier Jeneral Tengku Amir Naseer Ibrahim Shah Al-Sultan Abdullah.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Presiden UIAM Tan Sri Abdul Rashid Hussain.

Pada majlis itu, Tunku Azizah turut menyampaikan bantuan kewangan kepada 120 pelajar asnaf dan insentif kepada pelajar–atlet UIAM yang mengharumkan nama universiti serta negara menerusi pencapaian pingat pada Sukan SEA ke-33 dan Sukan Para ASEAN ke-13 pada 2025.

Sementara itu, dalam titah ucapan baginda, Tunku Azizah bertitah program itu merupakan manifestasi nyata komitmen UIAM terhadap ummah.

Baginda bertitah pelajar asnaf menerima sokongan melalui Tabung Khairat UIAM Kuantan dan turut dibantu menerusi Tabung Endowmen UIAM (IEF).

"Kemiskinan seorang anak muda tidak seharusnya menentukan batas masa hadapan mereka … anda tidak dilupakan, komuniti ini berdiri teguh di belakang anda.

"Gunakanlah sokongan ini sebagai batu loncatan, belajarlah dengan penuh dedikasi, berkhidmat dengan rasa syukur, dan satu hari nanti hulurkan kembali bantuan kepada mereka yang memerlukan," titah Tunku Azizah.

Tengku Ampuan Pahang turut menzahirkan ucapan tahniah kepada atlet terlibat atas pencapaian cemerlang mereka dan kebanggaan yang dibawa kepada UIAM dan Malaysia.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan