SUKAN

MALAYSIA BERPELUANG REBUT KELAYAKAN WALAU TEWAS KEPADA VIETNAM – CKLAMOVSKI

01/04/2026 11:00 AM

KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Ketua jurulatih kebangsaan Peter Cklamovski tetap berbangga dengan semangat juang skuad Harimau Malaya meskipun tewas 1-3 kepada Vietnam dalam perlawanan terakhir Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Thien Truong, Nam Dinh, malam tadi.

Cklamovski berkata Malaysia layak untuk mara berdasarkan merit tetapi mengakui faktor di luar padang telah menjejaskan peluang pasukan.

“Melihat bagaimana prestasi mereka bermain dan berjuang malam ini di tempat lawan, di hadapan penonton yang ramai, saya sungguh berbangga dengan mereka.

“Mereka berjuang untuk diri, keluarga, dan negara serta generasi akan datang. Mereka benar-benar memberikan inspirasi untuk Malaysia,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Dalam pertemuan malam tadi, jaringan kapten Do Duy Manh dan dua gol penyerang naturalisasi Nguyen Xuan Son meletakkan tuan rumah di hadapan sebelum pemain gantian Endrick Dos Santos menjaringkan penalti untuk Malaysia.

Cklamovski berkata pasukannya menunjukkan corak serangan yang memberangsangkan, terutamanya pada separuh masa pertama, tetapi gagal memanfaatkan peluang. 

“Pada separuh masa pertama … kami mencipta beberapa peluang yang amat baik dan berpeluang untuk menyamakan kedudukan 1-1.

“Itu akan menjadi detik yang mengubah perlawanan, tetapi kredit untuk Vietnam kerana memanfaatkan peluang mereka dan pemain dari Brazil telah memberikan impak yang baik,” kata jurulatih Australia itu.

Vietnam menamatkan saingan dengan menduduki tempat teratas menerusi 18 mata, Malaysia di tempat kedua (sembilan mata), Laos di tempat ketiga (enam mata) dan diikuti Nepal dengan tiga mata.

Harapan Malaysia untuk mara ke pusingan akhir Piala Asia berdasarkan merit buat kali kedua berturut-turut musnah selepas dikenakan pemotongan mata oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Baru-baru ini, Jawatankuasa Disiplin dan Etika AFC mendapati Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah melanggar Artikel 56 Kod Tatatertib dan Etika AFC kerana menurunkan pemain tidak layak dalam kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal dan Vietnam tahun lepas. 

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan