AM

PENERBIT UPSI, OXFORD UNIVERSITY PRESS BAKAL RINTIS KERJASAMA PENERBITAN

01/04/2026 01:02 PM

IPOH, 1 April (Bernama) -- Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencapai persetujuan awal bagi urus niaga penjualan lesen sebanyak 200 judul e-buku bahasa Melayu kepada Oxford University Press (OUP), sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha memperluas capaian karya akademik tempatan ke peringkat global.

Pengarah Penerbit UPSI Profesor Madya Dr Nordiana Hamzah berkata persetujuan itu dicapai hasil penyertaan dalam Fellowship Program Bangkok sempena Thailand International Book Fair yang berlangsung pada 27 hingga 28 Mac lepas di Queen Sirikit National Convention Centre.

"Perincian lanjut berhubung urus niaga itu akan diperhalusi oleh pihak perundangan UPSI dan juga OUP sebelum dimuktamadkan.

“Penyertaan ini bukan sahaja membuka ruang jaringan profesional global, malah turut membuahkan perkembangan signifikan apabila kami mencapai kata sepakat awal bagi penjualan lesen e-buku kepada OUP,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nordiana berkata selain itu sebuah syarikat penerbitan dari India, Aram Publications turut menyatakan minat untuk memperoleh hak penerbitan bagi beberapa judul terpilih terbitan UPSI, dengan perbincangan awal mencapai tahap positif.

Beliau berkata Fellowship Program Bangkok ialah inisiatif profesional yang menghimpunkan penerbit, editor dan pemain industri buku dari seluruh dunia bagi memperkukuh jaringan, berkongsi kepakaran serta meneroka peluang kerjasama strategik.

"Program ini berlangsung seiring dengan Pesta Buku Antarabangsa Thailand, antara pesta buku terbesar di Asia Tenggara yang menjadi platform utama perdagangan hak cipta, dan pertukaran idea dalam industri buku global," katanya.

Beliau berkata antara judul yang dikenal pasti termasuk  Malay Women in Colonial Texts (Lajiman Janoory), Reef Life: The Heart of Malaysian Sea (Norhayati Daud), Alice and Her Magic Scarf, Bella's Newfound World dan Mary The Cook and The Dragon (Mahendran Maniam), Dewa Pechil (Patricia Ann Hardwick dan Fara Dayana Mohd Jufry), Puteh Mariah Srikandi Politik Tidak Didendangkan (Mohamed Jeffri Haji Mat Lazim dan Ishak Saat), serta Pertemuan di Tepi Tasik (A. Wahab Rauf). 

Nordiana berkata minat itu mencerminkan potensi tinggi karya terbitan UPSI untuk menembusi pasaran antarabangsa, khususnya di rantau Asia Selatan.

Sepanjang berlangsungnya Bangkok Rights Fair, Penerbit UPSI turut mengadakan pertemuan dan rundingan strategik bersama wakil penerbit dari Thailand, China, United Kingdom, India, Turki dan Korea Selatan bagi memperkukuh potensi kolaborasi, termasuk penerbitan bersama serta pertukaran hak cipta.

Program Rights Fair itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Promosi Perdagangan Antarabangsa Thailand Pornvit Sila-On bersama Presiden Publishers and Booksellers Association of Thailand (PUBAT) Nattakorn Vuttichaipornkul, yang mencerminkan komitmen tinggi dalam memperkasakan sektor penerbitan global.

-- BERNAMA 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan