PUTRAJAYA, 1 April (Bernama) -- Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus merakamkan penghargaan kepada Malaysia atas komitmen dan penglibatan aktif dalam isu kesihatan antarabangsa, serta peranan konstruktif dalam memperkukuh kerjasama global berteraskan solidariti.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, penghargaan itu dizahirkan sempena lawatan rasmi Dr Tedros ke Malaysia, yang mencerminkan hubungan kerjasama erat, strategik dan berterusan antara Malaysia dan WHO dalam memperkukuh kesiapsiagaan serta daya tahan sistem kesihatan.
Menurut kenyataan itu, kunjungan berkenaan turut membawa implikasi positif secara langsung kepada rakyat Malaysia dari segi pencegahan, kesiapsiagaan dan respons kesihatan awam, khususnya melalui rundingan Akses Patogen dan Perkongsian Manfaat di bawah Kumpulan Kerja Antara Kerajaan yang sedang berlangsung.
Kerjasama itu juga memperkukuh kesiapsiagaan negara dan sistem amaran awal terhadap ancaman penyakit berjangkit menerusi rundingan pindaan Peraturan Kesihatan Antarabangsa serta Perjanjian Pandemik.
“Usaha ini memastikan Malaysia lebih pantas mengesan dan bertindak balas terhadap sebarang krisis kesihatan masa hadapan, sekali gus meminimumkan gangguan kepada aktiviti ekonomi dan kelangsungan sosial rakyat,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan penglibatan aktif Malaysia pada peringkat WHO adalah bagi memastikan suara rakyat negara ini terus diberi perhatian dalam landskap kesihatan global.
Malaysia kekal komited untuk terus bekerjasama dengan WHO bagi memastikan sistem kesihatan negara sentiasa berada pada tahap tertinggi, inklusif dan bersedia mendepani sebarang cabaran kesihatan global demi kesejahteraan rakyat.
-- BERNAMA
